KOTA KINABALU: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda berkata fokus jentera sayap pergerakan itu adalah untuk bekerja keras bagi memenangkan Gagasan Rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, jentera pergerakan Wanita perlu bekerja dengan berpegang kepada fokus dan matlamat utama, untuk mencapai kejayaan bagi perancangan memenangi PRN.
“Pilihan Raya Negeri akan datang adalah ukuran dan kita perlu pamerkan kekuatan serta semangat kerjasama serta kerja berpasukan kita sebagai sebuah jentera.
“Saya berharap dan saya yakin dengan semua yang bersama saya dalam pergerakan Wanita, kita boleh capai kejayaan dengan usaha keras kita bagi PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar semasa Perhimpunan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah di sini, hari ini.
Menurut Redonah lagi, kerja keras jentera pergerakan Wanita bermula dari dalam dan melibatkan semua ahli Wanita, dari pelbagai peringkat.
“Semua Wanita yang bersama saya dalam pergerakan ini terlibat, dan kita mesti bekerja bersama, melaksanakan kerja-kerja kempen dan pastikan apa yang kita sampaikan kepada akar umbi itu, berkesan, difahami mereka dan insyaAllah, semoga turut diterima mereka.
“Saya ingin semua Wanita yang bersama saya dalam pergerakan ini juga amalkan sikap positif dan jangan ada perasaan negatif diantara satu sama lain, kerana jika ada ‘duri dalam daging’, pasti usaha kita dan segala kerja keras kita akan terganggu,” katanya lagi.
Tambah Redonah juga, peranan wanita dalam semua bidang dan institusi kini sangat luas dan menyeluruh, serta wajar untuk dibanggakan dan dijadikan inspirasi kepada perjuangan pergerakan Wanita Gagasan Rakyat.
“Wanita berperanan besar dan wujud sebagai denyut nadi dalam semua institusi yang ada kerana wanita sudah menjadi kekuatan dan penggerak kepada semua.
“Jangan lihat sudut kita lemah sebagai wanita, kita bukan lemah semangat tapi kita lemah lembut, kerana sudah diasuh dari kecil untuk menjadi wanita yang mempunyai perilaku sopan dan ini yang saya mahu tekankan kepada semua.
“Bila kita ada jati diri yang baik, amalkan sikap dan nilai murni yang baik, kita akan menjadi contoh, disegani dan dihormati kerana untuk kita menjadi pemimpin, kita kena ada satu nilai yang baik dan kita dipandang serta dinilai oleh rakyat dari sudut itu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Redonah juga menegaskan bahawa prinsip perjuangan pergerakan Wanita Gagasan Rakyat juga adalah berdasarkan kepada kekuatan kepimpinan Gagasan Rakyat serta presiden.
“Kita berdiri dengan kekuatan tiang parti kita, Presiden yang kita sayang, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang kita sayang kasih.
“Saya harap, kita contohi dan kita amati semua perkara baik, kita serap dan kita praktikkan khasnya untuk memberikan gambaran bahawa kita adalah jentera yang ikhlas dan kita berada dalam parti ini, bukan untuk kepentingan diri,” katanya.
Redonah juga menyeru semua ahli dalam pergerakan Wanita Gagasan Rakyat untuk sentiasa peka da mengikuti perkembangan semasa, seiring dengan keperluan dan kehendak masa.
Katanya, untuk memperkasa parti, semua perlu mementingkan keperluan parti dan sedia untuk berkorban.
“Segala perit jerih, tenaga, masa dan emosi kita korbankan untuk membawa perjuangan parti dan bukan hanya ini, tetapi saya juga mahu semua ahli Wanita peka.
“Peka dengan segala hal dan isu yang bekepentingan kepada rakyat, kepada akar umbi dan kita mahu kita menjadi suara dan penghubung kepada segala permasalahan mereka.
“InsyaAllah, saya yakin niat baik dan usaha murni yang kita buat dengan sepenuh hati, akan direstui dan dirahmati Ilahi,” katanya lagi.
— Liza Din
Add Comment