PUTATAN: Kerajaan negeri kekal komited menjaga kepentingan belia di Sabah dengan memasukkan pembangunan belia sebagai salah satu tonggak utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Belia bukan sekadar penerima manfaat, tetapi ejen perubahan. Dalam dunia penuh cabaran, mereka mesti menjadi pemimpin keharmonian masyarakat, penjaga warisan budaya, serta penyokong kemajuan teknologi,” katanya ketika berucap pada Program Anak Muda di Dewan Sri Putatan, Ahad.
Menurut Hajiji, kerajaan negeri telah memperkenalkan 14 inisiatif baharu melibatkan peruntukan RM164.14 juta bagi tempoh 2021–2025, memberi manfaat kepada 210,918 pelajar. Antara yang dilaksanakan termasuk geran belia, latihan kemahiran serta program inovasi dan keusahawanan.
Pada majlis itu, beliau menyerahkan Geran Program Anak Muda berjumlah RM300,000 untuk diagihkan kepada NGO belia di kawasan DUN Tanjung Aru, Petagas dan Tanjung Keramat dalam Parlimen Putatan.
“Geran ini bukti komitmen kerajaan untuk menyokong idea dan projek yang memberi manfaat kepada masyarakat. Gunakanlah sebaik mungkin untuk melaksanakan program yang membawa kebaikan kepada belia,” katanya.
Hajiji menegaskan pembangunan Sabah tidak akan berjaya tanpa sokongan generasi muda, sambil mengingatkan mereka agar tidak mudah terpengaruh dengan fitnah serta pembohongan yang disebarkan pembangkang di media sosial.
Dalam majlis sama, beliau turut menyaksikan penyerahan warta Tanah Perkuburan Taman Sempelang, Sembulan daripada Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew kepada Yang Dipertua MUIS, Datuk Yahya Hussin.
Terdahulu, Hajiji diiringi Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya yang juga Ahli Parlimen Putatan, serta ADUN Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, melawat tapak pembinaan Rumah Mesra SMJ untuk mangsa kebakaran di Kampung Petagas.
— TAMAT

























Add Comment