Home » RM600,000 bantu pekerja E-hailing buka Akaun KWSP – Hajiji
Berita GRS Politik

RM600,000 bantu pekerja E-hailing buka Akaun KWSP – Hajiji

ALBUM: Hajiji merakamkan gambar kenangan bersama para peserta pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memperuntukkan hampir RM600,000 bagi membantu pekerja gig sektor e-hailing membuka akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata setakat ini, sebanyak 11,109 permohonan telah diterima daripada pekerja e-hailing untuk membuat caruman.

“Saya ingin mengumumkan kerajaan negeri akan memperuntukkan hampir RM600,000 bagi membantu mereka yang masih belum membuka akaun KWSP,” katanya ketika berucap pada Program Sabah Moto Day 8.0 di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada Sabtu di sini.

Hajiji turut menyatakan kegembiraannya melihat penganjuran Sabah Moto Day yang terus berkembang pesat dengan menarik kira-kira 60,000 penunggang motosikal dan peminat permotoran dari seluruh Sabah, Sarawak dan Brunei.

Katanya, kehadiran besar itu membuktikan aktiviti permotoran masih dekat di hati belia dan masyarakat umum.

“Saya kagum dengan sokongan yang ditunjukkan semua peserta, tanpa mengira usia, bangsa dan agama. Himpunan ini wajar dilihat secara positif kerana ia turut menyumbang kepada penjanaan ekonomi negeri berikutan jumlah pengunjung yang ramai,” katanya.

Beliau dalam masa sama menyeru peserta mengutamakan keselamatan jalan raya serta berharap program itu dapat meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan peminat sukan permotoran dua roda.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri menganggap belia sebagai aset penting, justeru sebanyak RM1.33 bilion telah dibelanjakan bagi tempoh 2021 hingga 2025, termasuk RM848.26 juta untuk bantuan pendidikan dan RM485 juta bagi pembangunan bakat serta kemahiran.

“Perkara ini tidak pernah dilakukan kerajaan negeri terdahulu. Kita komited membangunkan belia yang merupakan pemimpin masa depan,” tegasnya.

Dalam ucapannya, beliau turut mengajak para peserta menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.