Home » PBT perlu pastikan PPR tidak disalah guna
Berita GRS Politik

PBT perlu pastikan PPR tidak disalah guna

KENANGAN: Hajiji, Joachim serta menteri kabinet yang lain merakamkan gamber kenangan ketika dalam mesyuarat itu.

KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta untuk memantau  Program Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan masing-masing agar kemudahan itu tidak disalahgunakan oleh penerima.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, terdapat kes dimana pemohon berjaya mendapatkan PPR tetapi menyewakan rumah itu kepada orang lain bagi mendapatkan keuntungan.

“Tindakan mereka ini membuktikan mereka tidak memerlukan PPR dan secara tidak langsung menggagalkan pihak yang betul-betul layak menerima PPR.

“Oleh itu, saya mahu semua PBT untuk menapis semua pemohon PPR dan memantau pelaksanaan PPR di kawasan masing-masing.

“Menurut perjanjian, mereka yang menerima PPR tidak dibenarkan untuk menyewakan rumah itu kepada orang lain,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) di sini, semalam.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga telah memohon sejumlah 5,000 PPR di Sabah untuk tahun hadapan.

“Saya telah bertemu dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming baru-baru ini, dan memohon 5,000 PPR untuk Sabah dimasukkan dalam belanjawan kementeriannya pada tahun depan,” katanya.

Hajiji juga memohon semua PBT untuk melaksanakan lebih banyak program kesedaran kebersihan di kawasan masing-masing.

Katanya, kekurangan kesedaran terhadap kebersihan dalam kalangan rakyat adalah antara sebab masalah pembuangan sampah tidak dapat diselesaikan.

Berkaitan dengan isu setinggan, setelah menerima makluman daripada Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Dr Jamili Nais.

Hajiji berkata, adalah penting pasukan penguatkuasaan kerajaan tempatan menyelesaikan masalah itu.

“Sekiranya mereka nampak bangunan dibina di atas tanah kerajaan di kawasan masing-masing, mereka harus segera bertindak.

“Jangan tunggu sehingga menjadi setinggan penuh kerana ia akan mendatangkan cabaran,” katanya.

Jamili dalam taklimatnya menjelaskan, terdapat 281 koloni setinggan di Sabah. Jumlah paling banyak terletak di Kota Kinabalu, diikuti Sandakan dan Tawau.

Sementara itu katanya, Kota Belud, Tuaran dan Ranau tidak mempunyai koloni setinggan.

Sementara itu, Hajiji turut mengarahkan pegawai PBT agar lebih proaktif dan melakukan pemeriksaan berkala terhadap kemudahan awam seperti sistem perparitan dan lampu jalan dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri KKTP, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, pelbagai pendekatan telah diambil dan dilaksanakan untuk memastikan kesemua 25 PBT, jabatan dan agensi dibawah kementerian itu bergerak lebih aktif.

Katanya, kini PBT mempunyai tiga Majlis Perbandaran selepas Penampang dinaik taraf dari Majlis Daerah ke Majlis Perbandaran.

Beliau juga mengutamakan penyelesaian isu kemiskinan dalam pentadbiran PBT dan mengambil tindakan proaktif untuk  menyelesaikan isu koloni setinggan.

“Menyelesaikan masalah isu setinggan perlu pendekatan bersepadu daripada semua agensi berkaitan di negeri ini,” katanya.

— TAMAT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment