Home » Sokongan akar umbi jadi sandaran kekalkan Sebatik:Hassan
Berita GRS Politik

Sokongan akar umbi jadi sandaran kekalkan Sebatik:Hassan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg Amir

TAWAU:Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yakin kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik akan terus dipertahankan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) hasil kekuatan jentera parti dan sokongan padu akar umbi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg Amir, berkata keahlian parti di kawasan itu kini mencecah 6,800 orang dan menjadi aset penting dalam memastikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat dikekalkan.

“Dengan kekuatan ahli serta jentera yang digerakkan lebih awal, saya yakin kerusi ini akan terus menjadi milik GRS. Kesiapsiagaan awal amat penting bukan sahaja untuk mengekalkan kemenangan, malah memberi sumbangan bermakna kepada gabungan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, mandat yang diberikan rakyat sejak dahulu merupakan amanah yang sentiasa dijunjung tinggi, dengan pembangunan serta kebajikan masyarakat Sebatik terus diberi perhatian.

“Sebatik mempunyai keunikan tersendiri dan memerlukan perhatian berterusan dalam aspek ekonomi, infrastruktur dan pendidikan. Saya pastikan suara rakyat Sebatik terus didengar di peringkat negeri,” katanya.

Beliau menambah, kekuatan akar umbi dan kesatuan dalam parti menjadi faktor utama yang menambah keyakinan bahawa DUN Sebatik mampu dipertahankan, sekali gus menjadi benteng sokongan teguh kepada GRS dalam PRN-17 akan datang.

— TAMAT