KOTA KINABALU:Kerajaan Negeri Sabah menzahirkan penghargaan kepada PETRONAS dan Yayasan PETRONAS atas sumbangan bernilai RM980,000 bagi membantu mangsa banjir di negeri ini sepanjang tahun.
Majlis penyerahan sumbangan yang berlangsung di Menara Kinabalu semalam disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Penyerahan dibuat oleh Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
Sumbangan tersebut meliputi bekalan asas, tilam lipat, kanopi, kipas, air minuman serta sokongan logistik kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memperkukuh operasi bantuan di lapangan.
Hajiji berkata, inisiatif ini mencerminkan keprihatinan sektor swasta dalam berkongsi tanggungjawab bersama kerajaan negeri demi kebajikan rakyat.
“Dengan adanya sokongan daripada syarikat korporat seperti PETRONAS serta NGO lain, proses pemulihan dapat dipercepatkan dan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Beliau turut menegaskan sokongan bersepadu antara kerajaan, GLC, sektor swasta dan masyarakat amat penting untuk mengurangkan kesan bencana alam serta memastikan mangsa mendapat bantuan tepat pada masanya.
Sementara itu, Siti Ayu berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan PETRONAS dalam menyokong kesiapsiagaan bencana di Sabah.
“Selain bekalan asas, PETRONAS turut menyumbang peralatan seperti tilam lipat, kanopi, kipas, bekalan air minuman, serta kad sumbangan bernilai RM10,000 bagi pembelian bahan api untuk operasi bantuan APM,” katanya.
Setakat tahun ini, PETRONAS dan Yayasan PETRONAS telah menyalurkan RM980,000 bagi menyokong kesiapsiagaan serta bantuan pasca bencana di Sabah, termasuk sumbangan awal tahun lalu.
— TAMAT

























Add Comment