KOTA KINABALU: UMNO diminta menilai semula sejarah dan peranannya dalam landskap politik Sabah sebelum membuat tuduhan terhadap pihak lain.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kenyataan Ketua UMNO Kota Kinabalu, Musliati Moslimin yang menyifatkan UMNO bukan ‘alat politik’, ‘pelengkap skrip’ atau ‘pembeli janji palsu’ adalah bersifat melupakan fakta sejarah.
Katanya, UMNO memiliki rekod panjang dalam mencorak skrip politik yang sering berubah-ubah, termasuk ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020.

“Sejarah mencatatkan bahawa dua hari sebelum hari penamaan calon PRN Sabah 2020, UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah bersetuju untuk bertanding di 27 kerusi. Namun, apabila tiba masanya, mereka bertanding di 41 kerusi.
“Tindakan itu bukan sahaja melanggar persefahaman bersama, malah menimbulkan kekeliruan dan ketegangan dalam kalangan parti gabungan ketika itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah berkata, UMNO perlu menerima hakikat bahawa dalam gabungan politik, parti yang memperoleh jumlah kerusi terbanyak mempunyai keutamaan untuk mengetuai kerajaan.
Menurutnya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dilabel sebagai ‘parti serpihan’ oleh Musliati, sebaliknya memperoleh kerusi terbanyak dan layak secara demokratik menentukan calon Ketua Menteri.
“Ini bukan soal pengkhianatan, tetapi prinsip asas dalam demokrasi yang perlu dihormati semua pihak,” katanya.
Mengulas lanjut, Nizam turut mempersoalkan tindakan Musliati yang tidak menyentuh insiden ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023, apabila beberapa pemimpin UMNO diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin cuba menggugat kerajaan negeri.
“Tindakan menggulingkan kerajaan yang sah bukan sahaja menggugat kestabilan, malah memperjudikan mandat rakyat yang diberikan dalam pilihan raya.
“Justeru, keputusan Ketua Menteri menggugurkan mereka daripada Kabinet dan agensi adalah prerogatif beliau demi menjaga kestabilan dan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, UMNO tidak lagi menjadi ‘abang besar’ dalam politik Sabah mahupun di peringkat nasional, apabila sokongan terhadap parti itu semakin merosot.
“Di Sabah, rakyat sudah muak dengan skrip politik lama yang hanya menukar pelakon, tetapi mengekalkan jalan cerita sama dan rakyat kini menuntut perubahan yang tulen dan berprinsip,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri pimpinan GRS ketika ini memberi tumpuan kepada pembangunan dan kestabilan politik melalui kerjasama strategik bersama Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kerjasama ini penting bagi memastikan pentadbiran negeri kekal stabil dan fokus terhadap agenda rakyat menjelang PRN Sabah akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam menegaskan bahawa kuasa sebenar bukan ditentukan oleh tokoh atau parti politik semata-mata, sebaliknya terletak di tangan rakyat.
“Biarlah rakyat Sabah menilai sendiri siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya berdrama,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment