Home » 39,276 warga asing didaftar dalam S.W.I.M.S di Sabah
Berita Gagasan Rakyat Politik

39,276 warga asing didaftar dalam S.W.I.M.S di Sabah

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk nizam Abu Bakar Titingan berkata, sejak bermulanya Program Outreach Aktiviti Pendataan Digital pada 12 September 2022 sehingga kini, program berkenaan sedang berjalan dengan aktif, termasuk semasa bulan Ramadan.

KOTA KINABALU: Seramai 39,276 warga asing merangkumi 21,994 pekerja dan 17,282 tanggungan direkodkan dalam Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (S.W.I.M.S) dan diperakukan oleh majikan. 

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk nizam Abu Bakar Titingan berkata, sejak bermulanya Program Outreach Aktiviti Pendataan Digital pada 12 September 2022 sehingga kini, program berkenaan sedang berjalan dengan aktif, termasuk semasa bulan Ramadan.

Katanya, setakat ini sebanyak lima syarikat perladangan menyertai dan terlibat sepenuhnya dalam program berkenaan iaitu Kumpulan Sawit Kinabalu, Sabah Softwood Berhad, Benta Wawasan Sdn. Bhd, FGV Plantations, dan Cepat Wawasan Group Berhad.

“Warga asing melalui program ini didaftarkan dan didatakan secara digital melibatkan pengambilan maklumat peribadi, pengecaman muka dan biometrik dengan menggunakan S.W.I.M.S.

“Golongan warga asing ini didatakan berdasarkan matriks pendataan berpandukan Akta Imigresen 1959/63 dan PeraturanPeraturan Imigresen 1963,” katanya semasa sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) mengenai status semasa cadangan pendataan digital pendatang asing dan jumlah pendatang asing terkini yang direkodkan di Sabah.

Nizam berkata, pada fasa permulaan, Program Outreach Aktiviti Pendataan Digital ini tertumpu kepada sektor perladangan dan pembinaan.

Menurutnya, kedua-dua sektor berkenaan adalah sektor yang mempunyai bilangan warga asing yang tertinggi dan juga permintaan tenaga kerja yang aktif dalam kategori 3D iaitu ‘Dirty, Difficult and Dangerous’. 

Katanya, bagi golongan pendatang tanpa izin (PTI), kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu-isu keselamatan yang melibatkan PTI di Sabah.

Selain itu jelasnya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah dan agensi penguatkuasaan yang berkaitan akan sentiasa melaksanakan operasi penangkapan dan pengusiran terhadap golongan-golongan ini. 

— Siti Aisyah Narudin