Home » 402 pengusaha tanaman durian sertai kursus anjuran Jabatan Pertanian Ranau
Berita GRS Politik

402 pengusaha tanaman durian sertai kursus anjuran Jabatan Pertanian Ranau

PENGHARGAAN: Jonathan (tiga kiri) menerima cendera kenangan daripada penganjur.

RANAU: Seramai 402 orang pengusaha tanaman durian di daerah ini menyertai kursus Diseminasi Teknologi Tanaman Durian di sini, semalam.

Kursus yang julung kali diadakan itu adalah anjuran bersama Jabatan Pertanian Daerah Ranau dengan Pejabat Parlimen Ranau, yang lebih berfokus penghasilan buah durian berkualiti serta bernilai tinggi.

Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata pembangunan tanaman durian adalah antara fokus kerajaan bagi meningkatkan pengeluaran tanaman makanan di Sabah.

Katanya, berdasarkan data perangkaan Jabatan Pertanian Sabah setakat tahun 2023 pengeluaran durian di negeri ini telah mencapai tahap kecukupan melebihi 100 peratus.

“Ia membabitkan keluasan tanaman seluas 7,292 hektar dan yang sudah berhasil kira-kira 2,149 hektar dengan pengeluaran 15,052 tan.

“Untuk daerah Ranau keluasan tanaman setakat ini adalah 1,457 hektar, luas berhasil 178 hektar dengan pengeluaran 440 tan,” katanya ketika merasmikan kursus berkenaan.

Jonathan berharap petani di daerah Ranau mengambil peluang dan terus melibatkan diri dalam pembangunan tanaman durian.

“Petani di sini perlu mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) atau perladangan Organik seterusnya mendapat pensijilan myGAp atau my Organic bagi memastikan hasil yang dikeluarkan berkualiti dan selamat dimakan.

“Saya berharap pengusaha tanaman durian di Ranau dapat bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Sabah dan menyertai program pensijilan yang diadakan bagi mengelak penipuan bahan palsu,” katanya.

Menurutnya, dengan kemajuan pembangunan tanaman durian sudah tentu mampu meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan masyarakat tani di daerah Ranau.

“Saya sebagai wakil rakyat di daerah ini menyokong pembangunan tanaman durian agar terus berkembang maju dan membawa nama Ranau sebagai pengeluar durian yang terbaik dan berkualiti tinggi,” katanya. 

–Hamzah Sanudin