Home » Kalabakan dipacu jadi hab strategik berhampiran sempadan Malaysia–Indonesia
Berita GRS Politik

Kalabakan dipacu jadi hab strategik berhampiran sempadan Malaysia–Indonesia

JELAJAH RAKYAT: Hajiji menyampaikan Geran Pewartaan Kampung kepada wakil lima kampung ketika Program Jelajah Rakyat Parlimen Kalabakan — lawatan yang turut memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur jalan raya serta perancangan bandar baharu seluas 1,000 ekar di daerah itu.

KALABAKAN: Kerajaan Sabah merancang membangunkan sebuah bandar baharu seluas kira-kira 1,000 ekar di Kalabakan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan kawasan strategik berhampiran sempadan Malaysia–Indonesia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kawasan berkenaan telah dikenal pasti dan perancangan pembangunan kini sedang diperhalusi sebelum dilaksanakan secara berperingkat.

Beliau berkata, pembangunan itu turut melibatkan pembinaan jaringan jalan raya ke kawasan sempadan serta penyediaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) bagi meningkatkan hubungan rentas sempadan serta merancakkan aktiviti ekonomi.

“Kita sudah mengenal pasti kawasan seluas kira-kira 1,000 ekar untuk pembangunan bandar baharu ini.

“Perancangan sedang diperhalusi dan akan dilaksanakan pada masa yang sesuai, termasuk pembangunan CIQS serta jalan raya yang menghubungkan Kalabakan dengan kawasan sempadan,” katanya ketika ditemui sempena Program Jelajah Rakyat Parlimen Kalabakan, di sini, Sabtu.

Menurut Hajiji, pembangunan bandar baharu itu bukan sekadar menyediakan kawasan penempatan, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta meningkatkan keterhubungan Kalabakan dengan kawasan sempadan.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur jalan raya di daerah itu bagi memastikan Kalabakan terus menikmati limpahan pembangunan secara menyeluruh.

Beliau berkata, beberapa projek jalan raya sedang dilaksanakan, manakala beberapa lagi berada pada peringkat perancangan dan permohonan.

“Saya tidak dapat memperincikan satu persatu projek berkenaan, namun berdasarkan taklimat yang saya terima, terdapat pelbagai projek pembangunan jalan raya yang akan dilaksanakan di kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata lawatan kerja berkenaan memberi peluang kepada kerajaan negeri meninjau sendiri keperluan rakyat serta mengenal pasti projek yang perlu diberikan keutamaan.

“Kita turun padang untuk memastikan Kalabakan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

“Saya turut membawa Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai kanan bagi melihat sendiri keperluan rakyat serta mengenal pasti program yang perlu diberi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan jaringan jalan raya yang lebih baik antara Kalabakan dan kawasan sempadan diyakini mampu meningkatkan mobiliti penduduk, merangsang aktiviti ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pembangunan di kawasan berkenaan.