KALABAKAN: Sabah dijangka memperoleh 40 peratus kepentingan dalam projek Floating Liquefied Natural Gas (FLNG) atau fasiliti gas asli cecair terapung di negeri ini menerusi perjanjian yang bakal dimeterai dengan PETRONAS dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata perkembangan itu merupakan antara pencapaian penting hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, selain kesinambungan perjanjian komersial yang dimeterai bersama PETRONAS sebelum ini.
Beliau berkata, Sabah turut bakal memperoleh 20 peratus kepentingan dalam projek pembangunan lapangan minyak dan gas baharu yang ditemui PETRONAS di perairan Sandakan.
“Kita telah berjaya memeterai perjanjian dengan PETRONAS dan dalam beberapa bulan lagi akan menandatangani satu lagi perjanjian yang membolehkan Sabah memperoleh 40 peratus kepentingan dalam projek FLNG di negeri ini.
“Bagi lapangan minyak dan gas baharu di Sandakan pula, Sabah akan diberikan pegangan sebanyak 20 peratus,” katanya ketika merasmikan Program Jelajah Rakyat dan Jualan Rahmah MADANI Parlimen Kalabakan di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kalabakan, di sini, Sabtu.
Terdahulu, Hajiji menghadiri taklimat pembangunan daerah yang disampaikan Pegawai Daerah Kalabakan, Murad Abdul Rashid.
Hajiji berkata, pencapaian itu membuktikan manfaat besar yang boleh diperoleh Sabah melalui hubungan erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam memperkukuh penyertaan negeri dalam industri minyak dan gas.
Menurutnya, dasar kerajaan negeri yang mesra pelabur turut meningkatkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap potensi ekonomi Sabah.
“Hampir 40 diplomat dan pesuruhjaya tinggi telah mengadakan kunjungan ke Sabah dalam tempoh lima tahun lalu. Mereka melihat dasar mesra pelabur yang kita laksanakan mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata, sambutan pelabur yang semakin menggalakkan menyebabkan kawasan perindustrian sedia ada seperti Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) hampir mencapai kapasiti maksimum.
Sehubungan itu, kerajaan negeri sedang memperluaskan kawasan perindustrian baharu termasuk di POIC Pantai Timur, serta membangunkan taman industri berasaskan ekonomi biru bagi memenuhi permintaan pelaburan.
Mengulas pembangunan Kalabakan, Hajiji berkata kerajaan negeri komited mempercepat pembangunan daerah itu menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik di bawah aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Antara inisiatif utama ialah cadangan pembinaan Bandar Baharu Kalabakan seluas kira-kira 1,000 ekar yang dijangka menjadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu di daerah berkenaan.
Selain itu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur termasuk menaik taraf rangkaian jalan raya serta pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) yang bakal menjadi pintu masuk utama Sabah ke Kalimantan Utara, Indonesia.
Beliau berkata, lawatan kerja itu turut memberi peluang kepada kerajaan negeri meninjau sendiri perkembangan pembangunan di Kalabakan bagi memastikan daerah berkenaan terus menikmati manfaat pembangunan secara menyeluruh.

























Add Comment