TAWAU: Pembinaan Empangan Air Tawau bernilai RM450.5 juta kini mencapai kemajuan fizikal 74.04 peratus dan dijangka siap pada Oktober 2027, sekali gus menjadi penyelesaian jangka panjang kepada masalah bekalan air yang sekian lama dihadapi penduduk daerah ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata projek di bawah Skim Bekalan Air Tawau Fasa III itu kini berjalan mengikut jadual, malah kemajuan fizikalnya telah melepasi sasaran asal.
Beliau berkata, kerajaan negeri komited memastikan projek berimpak tinggi itu disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan demi menjamin bekalan air yang lebih stabil kepada rakyat.
“Perkembangan projek ini amat memberangsangkan dan berada di landasan yang betul. Walaupun terdapat permohonan lanjutan masa daripada kontraktor, yang penting projek ini dijadualkan siap sebelum penghujung 2027.
“Masalah bekalan air ini merupakan isu legasi yang kita warisi. Namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita berusaha sedaya upaya menyediakan peruntukan dan melaksanakan penyelesaian demi kepentingan rakyat,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Empangan Air Tawau dan Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri turut bersedia mempertimbangkan keperluan peruntukan tambahan sekiranya diperlukan berdasarkan penilaian Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Menurut beliau, berdasarkan taklimat JANS, projek yang dilaksanakan oleh Citic Wijaya Construction itu telah mencapai kemajuan fizikal 74.04 peratus setakat 25 Julai lalu, mengatasi jadual asal sebanyak 73.89 peratus.
Beliau berkata, empangan berkenaan akan mempunyai kapasiti takungan air mentah sebanyak 30 juta meter padu (MCM) serta disambungkan melalui paip air mentah sepanjang 11.6 kilometer.
“Apabila siap kelak, empangan ini akan membekalkan sumber air mentah kepada LRA Cinta Mata 1, LRA Cinta Mata 2 dan LRA Utara dengan kapasiti pengeluaran air terawat keseluruhan 161 juta liter sehari (JLH),” katanya.
Selain menjamin bekalan air mentah yang mencukupi, beliau berkata empangan itu turut dijangka mengurangkan risiko kekurangan air ketika musim kemarau, meningkatkan kualiti air mentah serta membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan hiliran Tawau.
Dalam lawatan sama, Hajiji turut diberi taklimat mengenai pembinaan LRA Cinta Mata 2 bernilai RM299.9 juta, yang kini mencatat kemajuan fizikal 16.08 peratus.
Projek itu melibatkan pembinaan loji rawatan air berkapasiti 30 JLH, dua tangki simpanan berkapasiti 20 JLH dan 10 JLH, serta pemasangan paip air terawat sepanjang 12 kilometer.
LRA Cinta Mata 2 dijadualkan siap pada 22 Julai 2028 dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 42,000 pengguna di Tawau dan kawasan sekitarnya.
Ketika ini, Tawau mempunyai 53,133 akaun pengguna air dengan rangkaian paip sepanjang 982.99 kilometer, namun kapasiti pengeluaran air semasa hanya 130 JLH berbanding permintaan sebanyak 142 JLH.
Antara cabaran utama yang masih dihadapi ialah kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang tinggi, iaitu 68 peratus, selain masalah paip usang, kecurian air, kekurangan tangki simpanan, peralatan mekanikal dan elektrikal yang telah berusia, serta isu kualiti dan kuantiti sumber air mentah.

























Add Comment