Home » Jadikan 2026 titik mula era baharu politik Sabah: Ewon
Berita GRS Politik

Jadikan 2026 titik mula era baharu politik Sabah: Ewon

BERSAMA: Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick bersama Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, barisan kepimpinan GRS serta ahli UPKO merakamkan gambar kenangan sempena Sambutan Ulang Tahun UPKO Ke-32 dan Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang.

PENAMPANG:Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mahu tahun 2026 menjadi titik permulaan kepada era baharu politik Sabah yang berteraskan kerjasama, perpaduan dan kesepakatan dalam memperjuangkan masa depan negeri serta kesejahteraan rakyat.

Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata penyertaan UPKO dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membuka ruang kepada parti itu untuk bersama-sama memperkukuh kesatuan politik tempatan serta memberi tumpuan lebih besar kepada agenda pembangunan negeri.

“Marilah menjadikan 2026 ini sebagai titik mula era baharu dalam politik Sabah, menjadikan sejarah parti masing-masing yang lepas sebagai iktibar dan teladan.

“Sabah memerlukan fokus besar dalam menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0. Fokus besar ini pastinya akan dapat dibina, dikemaskan, digerakkan dan dijayakan apabila kita semua bersetuju bahawa masa depan Sabah dan rakyatnya harus menjadi agenda tunggal kita bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun UPKO Ke-32 sempena Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini.

Ewon berkata, UPKO menyertai GRS dengan semangat persahabatan dan kerjasama serta berhasrat menyumbang kepada kekuatan sedia ada dalam gabungan berkenaan.

Menurutnya, kesatuan itu penting bukan sahaja bagi memperkukuh agenda pembangunan rakyat, malah dalam meneruskan perjuangan mendapatkan pelaksanaan penuh hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kalau selama ini saya bersama-sama dengan Datuk Armizan Mohd Ali bersatu memperjuang dan menuntut pelaksanaan MA63 melalui Kabinet Persekutuan, hari ini kerjasama ini disatukan melalui penyertaan UPKO dalam GRS,” katanya.

Ewon berkata, UPKO turut memperakui pencapaian Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam menyelesaikan perkara berkaitan tuntutan MA63.

Beliau berkata, sebanyak 13 perkara berkaitan tuntutan MA63 telah dilaksanakan sepenuhnya setakat ini, termasuk 11 perkara berkaitan Sabah.

“Kesemua perkara yang telah dilaksanakan sepenuhnya ini telah dimuktamadkan dan diselesaikan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Ewon turut menyifatkan hubungan antara UPKO dan GRS sebagai sesuatu yang terbina secara semula jadi, dengan Gunung Kinabalu menjadi simbol yang dikongsi kedua-duanya.

“UPKO menggunakan Gunung Kinabalu sebagai benderanya. GRS juga menggunakan Gunung Kinabalu sebagai latar logonya. Maka sebenarnya pertalian ini sudah semula jadi terbina melalui semangat Kinabalu yang menyatukan kita semua,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang 32 tahun penubuhan, UPKO telah melalui pelbagai cabaran serta perubahan landskap politik di Sabah dan peringkat nasional. Namun, Wawasan dan Agenda Sabah First kekal menjadi asas kepada perjuangan serta khidmat parti kepada rakyat.

“Berada dalam GRS, izinkan UPKO menyumbang kepada kekuatan sedia ada GRS terutama menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 berasaskan kepada Wawasan Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper,” katanya.

Ewon yakin Sabah di bawah kepimpinan Hajiji, dengan sokongan parti-parti komponen GRS, mampu melangkah ke era pembangunan yang lebih baik.

Justeru, beliau menyeru semua pihak supaya memberi tumpuan kepada masa depan negeri dan kepentingan rakyat, serta menjadikan pengalaman politik lalu sebagai iktibar dalam membina kerjasama yang lebih kukuh.

“Mudah-mudahan perjalanan 32 tahun bagi UPKO yang seterusnya kekal relevan melalui GRS agar sama-sama kita membina negara Bangsa Malaysia yang lebih baik dan masa depan Sabah yang lebih makmur,” katanya.