KOTA KINABALU: Prinsip berkaitan isu 3R — kaum, agama dan institusi diraja — perlu diterapkan secara adil dan konsisten tanpa mengira agama atau latar belakang individu yang terlibat.
Ketua Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) DUN Tambunan, Datuk Victor P. Paut, berkata demikian ketika mengulas kontroversi membabitkan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said, susulan jenaka mengenai seorang paderi dan biarawati Katolik serta rujukan kepada Mazmur 129 ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 baru-baru ini.
Victor berkata, agama, kitab suci dan tokoh keagamaan tidak seharusnya dijadikan bahan gurauan, khususnya apabila kandungannya boleh dianggap menyinggung sensitiviti penganut agama berkenaan.
“Perkara ini bukan soal politik UMNO, Gagasan Rakyat atau mana-mana parti. Ini soal rasa hormat terhadap agama dan kepercayaan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, rujukan kepada Mazmur 129 dalam jenaka berkenaan juga dipertikaikan kerana tidak menggambarkan kandungan sebenar mazmur itu.
Menurut Victor, walaupun Noorazli menjelaskan cerita berkenaan digunakan sebagai analogi bagi menyampaikan mesej mengenai fokus, ketekunan dan kebijaksanaan, kesan sesuatu kenyataan terhadap masyarakat turut perlu diambil kira.
Noorazli pada 14 September dilaporkan memohon maaf dan menjelaskan bahawa beliau tidak berniat menghina atau memperlekeh mana-mana individu, kepercayaan atau agama.
Tidak Boleh Ada Dua Standard dalam Soal Agama
Victor berkata, prinsip berkaitan isu 3R perlu dilaksanakan secara konsisten, khususnya apabila membabitkan sensitiviti agama.
“Kalau kenyataan yang menyentuh Islam boleh dianggap serius dan disiasat, perkara yang sama juga mesti dilakukan apabila agama Kristian atau mana-mana agama lain disentuh dengan cara yang boleh menyinggung perasaan penganutnya.
“Tidak boleh ada dua standard dalam soal agama,” katanya.
Beliau berkata, Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan agama lain perlu dihormati dalam sebuah negara berbilang agama seperti Malaysia — khususnya di Sabah yang masyarakatnya telah lama hidup dalam kepelbagaian agama dan budaya.
Victor turut merujuk beberapa peruntukan undang-undang yang boleh berkaitan dengan isu sensitiviti agama, namun menegaskan sama ada sesuatu kenyataan memenuhi unsur mana-mana kesalahan adalah perkara untuk ditentukan pihak berkuasa dan mahkamah.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, sebelum ini turut meminta pihak berkuasa menyiasat kontroversi berkenaan bagi menentukan sama ada terdapat pelanggaran undang-undang, termasuk Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan serta peruntukan berkaitan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.
Victor menegaskan beliau tidak membuat kesimpulan bahawa Noorazli telah melakukan sebarang kesalahan, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk dinilai berdasarkan undang-undang dan fakta.
Dalam pada itu, Victor turut merujuk kes ahli politik Sabah, David Orok, yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 2014 di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 berhubung hantaran Facebook yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan Islam.
Orok kemudiannya mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 16 bulan oleh Mahkamah Sesyen pada September 2015.
Victor berkata, rujukannya kepada kes berkenaan bukan bertujuan menyamakan fakta kedua-dua kes atau mempertahankan Orok, tetapi bagi menyokong pendiriannya bahawa undang-undang berkaitan sensitiviti agama perlu dilaksanakan secara adil.
“Kalau agama Islam mesti dihormati dan kenyataan yang dianggap menghina Islam boleh membawa kepada tindakan undang-undang, apakah agama Kristian pula boleh diperlakukan sesuka hati?
“Adakah standard kita berbeza apabila agama yang disentuh itu adalah agama minoriti?” katanya.
Victor berkata, beliau tidak meminta layanan istimewa untuk masyarakat Kristian, sebaliknya mahu prinsip keadilan dan kesamarataan terpakai kepada semua pihak.
Menurutnya, kebebasan bersuara juga perlu disertai tanggungjawab, terutama apabila kenyataan menyentuh kitab suci, tokoh agama atau kepercayaan masyarakat lain.
Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkuasa menilai perkara berkenaan secara profesional berdasarkan fakta dan undang-undang tanpa mengambil kira kedudukan atau afiliasi politik individu terbabit.
“Politik jangan sampai kita gadaikan keharmonian rakyat. Yang paling penting, laksanakan undang-undang secara adil tanpa mengira siapa yang terlibat dan daripada parti mana mereka datang,” katanya.

























Add Comment