KOTA KINABALU: Tambunan wajar dipertimbangkan untuk diwujudkan sebagai sebuah kawasan Parlimen dalam sebarang kajian semula persempadanan pilihan raya pada masa akan datang.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Dato’ Victor P. Paut, turut mencadangkan supaya daerah itu mempunyai dua kawasan DUN dengan mengambil kira perkembangan penduduk dan pemilih, keluasan kawasan, keadaan geografi serta keperluan perkhidmatan dan perwakilan masyarakat.
“Cadangan ini bukan dibuat tanpa asas. Ia perlu dilihat berdasarkan perkembangan jumlah penduduk, jumlah pemilih, keluasan kawasan, keadaan geografi serta keperluan perkhidmatan dan perwakilan masyarakat di Tambunan,” katanya dalam satu kenyataan.
Victor berkata, berdasarkan anggaran penduduk mengikut daerah pentadbiran oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah penduduk Tambunan meningkat daripada kira-kira 31,600 orang pada 2020 kepada 33,700 orang pada 2025.
Menurutnya, pertumbuhan berkenaan menunjukkan keperluan masyarakat di daerah itu turut berkembang dan sewajarnya diberikan perhatian dalam sebarang kajian berkaitan representasi pilihan raya pada masa hadapan.
“Pertumbuhan ini menunjukkan jumlah penduduk Tambunan terus berkembang dan keperluan masyarakat juga semakin meningkat,” katanya.
Victor berkata, dari sudut pilihan raya, Parlimen Keningau ketika ini merangkumi kawasan DUN Tambunan, Bingkor dan Liawan.
Beliau berkata, faktor jumlah pemilih perlu dinilai bersama keadaan geografi Tambunan yang mempunyai penempatan kampung berselerak serta bentuk muka bumi berbukit dan bergunung-ganang.
Menurutnya, keadaan itu mewujudkan cabaran tersendiri dari segi perhubungan, penyampaian perkhidmatan serta akses masyarakat kepada wakil rakyat.
“Oleh sebab itu, saya berpandangan keadaan Tambunan perlu dinilai secara menyeluruh dan bukan sekadar berdasarkan angka pemilih semata-mata,” katanya.
Pandangan itu selari dengan prinsip umum yang digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi kajian semula persempadanan, yang antara lain mengambil kira keseimbangan jumlah pemilih serta kemudahan pentadbiran. Bagi kawasan luar bandar yang menghadapi kesukaran perhubungan dan pengangkutan, keluasan kawasan juga boleh diberikan pertimbangan.
Victor berkata, cadangan berkenaan wajar diteliti berdasarkan keperluan semasa dan masa depan penduduk Tambunan sekiranya kajian persempadanan dilaksanakan kelak.

























Add Comment