KOTA KINABALU:Kerajaan perlu menjalinkan hubungan dua hala dengan penggiat seni, ikon sukan dan mahasiswa sebagai rakan strategik berimpak tinggi.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Masiung Banah, berkata kerjaya ketiga-tiga golongan itu mempunyai pengaruh luas sebagai ejen perubahan masyarakat.
Menurutnya, sekiranya kerajaan bersetuju, BBC merancang mengadakan satu kolaborasi santai yang menghimpunkan ketiga-tiga golongan itu menerusi forum bersama bagi membolehkan kerajaan mendengar maklum balas jujur serta idea segar daripada mereka.
“BBC melihat karyawan seni, bintang sukan dan intelektual harus mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan supaya mereka berasa tidak dipinggirkan.
“Apabila kerajaan kurang mendekati, mereka mula melontarkan pelbagai reaksi negatif terhadap isu semasa termasuk masalah elektrik, air dan jalan raya di negeri ini,” katanya.
Masiung berkata, kelompok itu mempunyai pengaruh, merit dan dinamisme unik untuk menterjemah serta menyebarluaskan dasar kerajaan kepada pelbagai peringkat masyarakat.
“Kita yakin menerusi perkongsian forum berkenaan kelak, ketulusan idea ketiga-tiga kluster berbeza itu dapat diketengahkan dan mereka boleh meluahkan pandangan tuntas merentasi batas politik dan agama,” katanya.
Masiung berkata, penggiat seni mempunyai keupayaan luar biasa untuk menyentuh emosi rakyat menerusi karya seni, muzik, drama, filem dan sastera bagi menyuntik dasar pembangunan kerajaan.
Beliau berkata, forum itu lebih merupakan peluang kepada karyawan seni untuk berinteraksi dengan wakil kerajaan, tambahan pula bidang mereka sering tercicir dalam pembentangan bajet kerajaan.
Lanjutan itu, Masiung berharap usaha ke arah penyatuan penggiat seni di Sabah dan kerajaan negeri dapat direalisasikan.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan dapat mendengar keluhan industri kreatif mengenai kebajikan artis, hak cipta dan pembiayaan ekosistem seni.
Masiung, yang juga ADUN Kuamut, berkata atlet dan bintang sukan tidak boleh diketepikan kerana mereka merupakan generasi muda penyatu bangsa yang paling berkesan, merentasi batas geopolitik.
“Jika cadangan forum ini menjadi kenyataan, bintang sukan boleh menjadi platform bagi membincangkan hala tuju sukan tanah air, selain pelaburan fasiliti sukan selepas bersara,” katanya.
Sementara itu, Masiung berkata golongan mahasiswa yang mewakili suara anak muda celik teknologi kecerdasan buatan (AI) dan berilmu harus didekati sebagai generasi pelapis.
Menurutnya, mahasiswa boleh bertindak sebagai “duta” pendidikan serta mempunyai pengaruh untuk menyampaikan mesej kerajaan kepada komuniti setempat dan rakan sebaya.
Masiung optimistik kumpulan intelek itu juga boleh menghasilkan kandungan menerusi video pendek dan coretan santai yang memberi motivasi kepada anak muda.
“Mereka juga boleh menyokong ketegasan kerajaan menentang ketirisan dan salah guna kuasa,” katanya.

























Add Comment