KOTA KINABALU: Kejayaan atlet karate kelahiran Tambunan, Adeola Fay Robert, menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 membuktikan atlet muda Sabah mempunyai potensi untuk mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.
Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata pencapaian atlet berusia 20 tahun itu bukan sahaja membanggakan Sabah, malah mengharumkan nama Malaysia di persada sukan Asia.
“Adeola membuktikan anak Sabah mampu pergi jauh. Dengan peluang, sokongan, latihan dan ruang pembangunan yang berterusan, atlet muda kita mampu berdiri sama tinggi dengan atlet terbaik Asia dan dunia.
“Kejayaan ini bukan sekadar kemenangan peribadi Adeola, tetapi satu pencapaian yang cukup membanggakan bagi Sabah dan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Adeola mencipta kejayaan dalam penampilan sulungnya di Sukan Asia apabila menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, 6-4 dalam final kumite wanita bawah 55 kilogram (kg) di Gimnasium Toyohashi, Selasa — sekali gus menghadiahkan emas pertama kepada kontinjen Malaysia pada temasya itu.
Sebelum mara ke final, Adeola menewaskan Bella Samasheva dari Kazakhstan 5-4 pada separuh akhir, selepas mengatasi Asrar Jasem dari Kuwait 9-1 dan Sevinch Rakhimova dari Uzbekistan 8-7 pada pusingan terdahulu.

Azizah berkata, pencapaian itu memperlihatkan perkembangan konsisten Adeola daripada membawa cabaran Sabah di peringkat kebangsaan sehingga diberi kepercayaan mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
Pada SUKMA XXII Selangor 2026 bulan lalu, Adeola turut meraih emas acara kumite wanita 61kg selepas menewaskan Grace Limbang Patrick dari Sarawak 10-0.
“Daripada gelanggang SUKMA membawa nama Sabah, kini Adeola berdiri di pentas Sukan Asia membawa Jalur Gemilang.
“Perjalanan ini memperlihatkan bagaimana seorang anak muda Sabah mampu berkembang menjadi juara apabila bakatnya diasah secara berterusan,” katanya.
Azizah berkata, kejayaan Adeola juga mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda Sabah — khususnya atlet wanita — untuk berani meletakkan sasaran tinggi dalam bidang yang diceburi.
Menurutnya, latar belakang atau tempat seseorang dilahirkan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mengejar kejayaan pada peringkat tertinggi.
Azizah berkata, pencapaian Adeola turut memperlihatkan kepentingan pembangunan sukan yang tersusun — termasuk mengenal pasti bakat muda dari daerah dan luar bandar serta menyediakan latihan, kemudahan dan pendedahan kompetitif yang mencukupi.
Beliau berkata, Sabah mempunyai ramai atlet muda berpotensi yang boleh diketengahkan sekiranya bakat mereka dikenal pasti dan diberikan laluan pembangunan yang sesuai.
“Kita mahu lebih ramai atlet muda Sabah diberi peluang untuk berkembang. Bakat anak-anak kita perlu dicari, diasah dan diberikan ruang supaya mereka bukan sahaja mampu menjadi juara di negeri sendiri, malah membawa nama Sabah dan Malaysia ke persada antarabangsa.
“Syabas dan tahniah Adeola. Rakyat Sabah tentunya berbangga dengan kejayaan ini. Teruskan melangkah, mencipta kejayaan dan mengharumkan nama Sabah serta Malaysia,” katanya.
Kejayaan di Aichi-Nagoya meneruskan momentum positif Adeola selepas meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025.
Emas berkenaan juga menamatkan penantian skuad karate wanita negara untuk meraih emas Sukan Asia sejak Syakilla Salni melakukannya pada edisi Incheon 2014.

























Add Comment