Home » Hubungan Sabah–China terjalin sejak berabad menerusi laluan maritim
Berita GRS Politik

Hubungan Sabah–China terjalin sejak berabad menerusi laluan maritim

ERAT HUBUNGAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam (lima kanan) bersama Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Dr. Zhu Xinglong (lima kiri), serta tetamu kehormat pada Majlis Resepsi sempena Ulang Tahun Ke-77 Penubuhan Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Rabu.

KOTA KINABALU:Sabah berada pada kedudukan strategik untuk menjadi jambatan penting dalam memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan China, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan teknologi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata hubungan Sabah dengan China merupakan sebahagian penting daripada kerjasama Malaysia–China yang lebih luas, dengan hubungan antara kedua-dua wilayah sebenarnya telah terjalin sejak berabad-abad lalu.

Menurut beliau, laluan perdagangan maritim sejak dahulu telah menghubungkan komuniti pesisir Borneo dengan selatan China serta kawasan lain di Asia Tenggara.

“Hubungan ini membolehkan pertukaran barangan, idea, budaya dan masyarakat, sekali gus mewujudkan ikatan yang kekal bermakna sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan pada Majlis Resepsi sempena Ulang Tahun Ke-77 Penubuhan Republik Rakyat China, di sini, Rabu. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, kedudukan geografi yang strategik, potensi ekonomi, kekayaan sumber semula jadi serta hubungan rakyat dengan rakyat yang telah lama terjalin menjadikan Sabah platform kukuh bagi memperluas penglibatan antara perusahaan, institusi dan masyarakat kedua-dua pihak.

Beliau berkata, perdagangan dan pelaburan kekal menjadi antara tonggak utama hubungan Sabah–China, dengan China merupakan antara rakan dagang terpenting negeri ini.

Kerjasama itu merangkumi pelbagai sektor termasuk komoditi, pertanian, perikanan, pembuatan, pelancongan dan perkhidmatan.

“Syarikat-syarikat China yang beroperasi di Sabah telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi, pewujudan peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur serta hubungan perniagaan yang lebih kukuh,” katanya.

Pada masa sama, Hajiji berkata Sabah mempunyai potensi pelaburan yang besar untuk diterokai pelabur China, khususnya dalam sektor pelancongan, tenaga boleh baharu, pertanian, perikanan, logistik, perkhidmatan digital dan ekonomi biru.

Kerjasama juga boleh diperluaskan menerusi perkongsian kepakaran dalam bidang pertanian pintar, akuakultur, pemuliharaan marin dan tenaga bersih.

“Dengan menyelaraskan kekuatan ekonomi Sabah dengan kepakaran, keupayaan pelaburan dan kemampuan teknologi China, kita boleh mewujudkan hasil yang bermakna serta memberi manfaat bersama,” katanya.

Dalam sektor pelancongan, beliau berkata kerjasama Sabah–China boleh terus diperkukuh menerusi peningkatan kesalinghubungan udara, perluasan pemasaran digital serta pembangunan produk ekopelancongan, pelancongan budaya dan pelancongan pengembaraan.

Selain kerjasama ekonomi, Hajiji berkata hubungan dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan pertukaran rakyat dengan rakyat juga mempunyai ruang luas untuk diperkembangkan.

Antaranya termasuk kerjasama universiti, pertukaran pelajar, program bahasa, penyelidikan, biasiswa, persembahan kebudayaan, aktiviti belia serta kerjasama dalam bidang sains dan teknologi.

“Pertukaran ini amat penting kerana ia memperdalam persefahaman bersama dan memupuk persahabatan dalam kalangan generasi akan datang.

“Ia mengingatkan kita bahawa kekuatan sebenar hubungan dua hala bukan sahaja terletak pada perdagangan dan pelaburan, tetapi juga pada hubungan antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Hajiji berkata, Sabah akan terus menyokong hubungan yang kukuh dan konstruktif antara Malaysia dan China, selaras dengan keutamaan pembangunan negeri menerusi agenda Sabah Maju Jaya 2.0.

“Sabah bersedia dan berhasrat untuk menjadi platform penting bagi kerjasama Malaysia–China,” katanya.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment