Home » Hajiji santuni keluarga Allahyarham Datu Khalil dan Allahyarham Haji Daya Sad
Berita GRS • Politik

Hajiji santuni keluarga Allahyarham Datu Khalil dan Allahyarham Haji Daya Sad

ZIARAH TAKZIAH: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, ketika menziarahi keluarga Allahyarham Tan Sri Datuk Seri Panglima Datu Haji Khalil Datu Haji Jamalul di Taman Selesa, Kepayan, Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU:Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, menziarahi keluarga dua Allahyarham dalam kunjungan berasingan di Kota Kinabalu dan Tuaran, hari ini.

Hajiji terlebih dahulu menziarahi keluarga Allahyarham Tan Sri Datuk Seri Panglima Datu Haji Khalil Datu Haji Jamalul di kediaman keluarganya di Taman Selesa, Kepayan, kira-kira jam 1.40 petang.

Allahyarham Datu Khalil, yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Pengarah Yayasan Sabah, meninggal dunia pada 29 September lalu.

Dalam kunjungan itu, Hajiji turut mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham kepada Sabah, khususnya sepanjang menerajui pentadbiran awam negeri serta ketika berkhidmat di Yayasan Sabah.

Allahyarham Datu Khalil merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dari 1993 hingga 2000. Beliau juga pernah menerajui Yayasan Sabah sebagai Pemangku Pengarah pada 1994 hingga 1995, sebelum kembali sebagai Pengarah dari 2001 hingga 2013.

TAKZIAH: Hajiji dan Juliah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Haji Daya Sad ketika menziarahi kediaman keluarga Allahyarham di Kampung Raganan, Tuaran, hari ini.

Ketua Menteri kemudian meneruskan ziarah ke kediaman Allahyarham Haji Daya Sad di Kampung Raganan, Tuaran, kira-kira jam 2.40 petang.

Allahyarham merupakan bapa kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya.

Dalam kedua-dua kunjungan itu, Hajiji dan Juliah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar roh kedua-duanya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Turut mengiringi Ketua Menteri ialah Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Haji Ghulam Haidar Khan Bahadar.