Home » Empat prinsip GRS perlu dibuktikan melalui tindakan
Berita GRS • Politik

Empat prinsip GRS perlu dibuktikan melalui tindakan

KEPIMPINAN: Penyelaras PGRS DUN Tambunan, Dato’ Victor P. Paut mahu empat prinsip utama GRS diterjemahkan menerusi teladan kepimpinan, bermula dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi.

TAMBUNAN: Empat prinsip utama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) — Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United — perlu diterjemahkan menerusi tindakan nyata dan teladan kepimpinan, bermula daripada peringkat tertinggi hingga ke akar umbi.

Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, Dato’ Victor P. Paut, berkata pelaksanaan prinsip berkenaan perlu berteraskan pendekatan dari atas ke bawah (top-down), dengan pemimpin terlebih dahulu menunjukkan contoh sebelum diikuti ahli di peringkat bahagian, daerah dan cawangan.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan prinsip perjuangan GRS bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi panduan dalam kepimpinan, pengurusan organisasi dan usaha membela kepentingan rakyat.

“Sabah First bermaksud mengutamakan kepentingan negeri dan rakyat, Sabah United menekankan perpaduan, Sabah Forward membawa agenda kemajuan, manakala Sabah Prosper memastikan kemakmuran dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh.

“Prinsip ini perlu diterjemahkan dari atas ke bawah, bukannya sebaliknya, kerana kepimpinan tertinggi harus menjadi contoh kepada ahli akar umbi.

“Sebab itu, saya menyambut baik pendirian Ketua Menteri mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Victor berkata demikian sebagai mengulas ucaptama Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, pada Konvensyen GRS 2026 di Kudat, Ahad lalu.

Dalam ucaptama itu, Hajiji menegaskan kepentingan Sabah mesti mengatasi kepentingan gabungan, parti komponen mahupun individu bagi memastikan kekuatan politik negeri terus terpelihara.

Hajiji turut mengingatkan bahawa perpaduan dalam GRS merupakan asas penting bagi memperkukuh kuasa tawar-menawar Sabah di peringkat Persekutuan — sekali gus menuntut semua pihak mengetepikan pertelingkahan dalaman, perebutan kedudukan dan ego politik.

Sementara itu, Victor berharap kerusi Parlimen Keningau turut dipertimbangkan dalam sasaran GRS untuk bertanding sekurang-kurangnya 16 daripada 26 kerusi Parlimen di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

Beliau, yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera, berkata penyertaan Keningau dalam perancangan pilihan raya GRS berpotensi membuka ruang kepada pendekatan pembangunan lebih strategik, khususnya bagi kawasan pedalaman Sabah.

Menurutnya, Keningau mempunyai potensi ekonomi dan pembangunan yang besar, namun memerlukan perancangan lebih menyeluruh untuk merancakkan pertumbuhan setempat serta meningkatkan kesejahteraan penduduk.

“GRS boleh menang di Parlimen Keningau. Keyakinan ini bukan sekadar harapan, tetapi disandarkan kepada usaha berterusan dan kerja keras di peringkat akar umbi yang kini mula menunjukkan hasil.

“Keningau memerlukan pembaharuan dan pembangunan lebih strategik kerana kemajuannya masih di takuk lama, sedangkan kawasan ini mempunyai potensi besar untuk dibangunkan,” katanya.

Victor menegaskan usaha memperkukuh kedudukan politik GRS di Keningau perlu seiring dengan komitmen membawa pembangunan yang lebih inklusif dan memberi manfaat langsung kepada masyarakat pedalaman.

Kerusi Parlimen Keningau kini disandang Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, yang memenanginya pada PRU15 tahun 2022. STAR meninggalkan GRS menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) tahun lalu.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment