Home » Sabah perkukuh bahasa kebangsaan dalam mendepani era digital, AI
Berita GRS • Politik

Sabah perkukuh bahasa kebangsaan dalam mendepani era digital, AI

BAHASA KITA, WAJAH KITA: Hajiji menyempurnakan gimik pelancaran BBK 2026 Peringkat Negeri Sabah — simbol komitmen Kerajaan Negeri memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan.

KOTA KINABALU:Kerajaan Sabah komited memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan dalam mendepani perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), termasuk memperluas penggunaannya di tempat awam serta memastikan pematuhan dalam urusan rasmi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata usaha itu turut merangkumi pemerkasaan pantun dan tulisan Jawi, pengembangan industri penerbitan buku serta penyelidikan dan pendokumentasian bahasa, sastera dan warisan etnik tempatan.

Beliau berkata generasi muda — khususnya pempengaruh digital dan penggiat industri kreatif di Sabah — perlu memanfaatkan kemajuan teknologi sebagai medium memperluas penggunaan bahasa kebangsaan.

“Saya juga mahu melihat anak-anak muda Sabah, para pempengaruh digital dan penggiat industri kreatif tempatan memanfaatkan teknologi bagi menyuburkan penggunaan bahasa kebangsaan,” katanya ketika merasmikan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2026 Peringkat Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Hajiji berkata usaha memartabatkan bahasa kebangsaan turut menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan negeri menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menurutnya, pelan itu bukan sahaja memberikan tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan sektor strategik, malah turut menekankan pembangunan modal insan serta pembentukan masyarakat beridentiti dan berjati diri kukuh.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus mengeratkan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Pendidikan Malaysia serta agensi berkaitan bagi memperkasa bahasa dan sastera kebangsaan menerusi pelbagai program, penyelidikan dan penerbitan.

Beliau turut menghargai usaha DBP memperluas penerbitan bahan bacaan dalam pelbagai bidang ilmu, mengembangkan bakat penulis muda serta menjalankan penyelidikan dan pendokumentasian bahasa dan warisan etnik tempatan untuk tatapan generasi akan datang.

Hajiji berkata kerjasama dengan DBP dan persatuan penulis perlu diperkukuh bagi menjadikan Sabah sebagai negeri contoh dalam pembudayaan ilmu, pengembangan kesusasteraan dan penggunaan bahasa kebangsaan yang berkualiti.

Dalam hubungan itu, beliau mahu usaha mengangkat Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera dipergiat menerusi penganjuran lebih banyak kegiatan bahasa, penulisan dan kesusasteraan.

Hajiji turut menyambut baik penganjuran Karnival Bahasa Kita, Tanggungjawab Kita yang mengetengahkan wacana pemerkasaan bahasa dalam media, bicara tulisan Jawi serta pemantapan seni berpantun.

Ketua Menteri turut mengingatkan generasi muda supaya mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan yang tepat dan santun, khususnya ketika berkomunikasi menerusi pelbagai platform media sosial.

“Kepada generasi muda, dalam rancaknya penggunaan dan komunikasi dalam pentas dan platform pelbagai media sosial, jiwa dan semangat mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan yang tepat dan santun haruslah menebal.

“Dalam ruang kebebasan bersuara dalam pelbagai medium, batasnya ialah kesantunan berbahasa dan bahasa yang baik,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggalakkan generasi muda menguasai pelbagai bahasa bagi meningkatkan daya saing — tanpa mengetepikan tanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan.

Mengulas tema BBK 2026, Bahasa Kita, Wajah Kita, Hajiji berkata tema itu bertepatan dengan semangat Bahasa Jiwa Bangsa yang mengangkat bahasa sebagai cerminan identiti, pemikiran, keperibadian dan jati diri masyarakat.

Menurutnya, penggunaan bahasa yang baik, beradab dan bersopan mencerminkan kematangan serta maruah bangsa bertamadun — selaras dengan nilai Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, daya cipta, hormat-menghormati dan keyakinan.

Beliau berkata bahasa kebangsaan juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum, manakala bidang penulisan, kesusasteraan dan media kreatif menjadi wadah mengembangkan pemikiran serta kreativiti masyarakat.

Dalam konteks Sabah, Hajiji berkata bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa penyatuan yang membolehkan masyarakat daripada pelbagai kaum, budaya dan latar belakang etnik berkomunikasi serta bekerjasama dalam suasana harmoni.

Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan tidak bermakna bahasa ibunda dan bahasa etnik lain — yang menjadi sebahagian daripada kekayaan warisan Sabah — harus dipinggirkan.

Sebaliknya, kepelbagaian bahasa berkenaan perlu terus dihargai dan dipelihara sebagai khazanah budaya negeri.

Hajiji seterusnya menyeru seluruh rakyat agar terus memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan lambang kebanggaan rakyat Malaysia.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment