KOTA KINABALU: Penganugerahan Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (BCNS) adalah satu pengiktirafan berprestij kerajaan negeri terhadap kecemerlangan yang dicapai oleh pelajar di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyifatkan majlis penganugerahan BCNS adalah hari yang begitu istimewa.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berharap pelajar-pelajar akan berusaha lebih gigih untuk mendapat kejayaan lebih cemerlang pada masa hadapan.
Katanya, penganugerahan BCNS itu seiring dengan hasrat kerajaan negeri melalui Kumpulan Yayasan Sabah ingin melihat lebih ramai lagi modal insan yang mampu bersaing di persada global.
“Kumpulan Yayasan Sabah diamanahkan untuk menyediakan biasiswa cemerlang ini sejak 1990. Sehingga kini, seramai 755 pelajar menerima manfaat daripada program ini dan sebanyak RM132.6 juta dibelanjakan sejak program ini dilaksanakan.
“Secara keseluruhannya, sejak 1967 hingga 2023, Kumpulan Yayasan Sabah membelanjakan RM704.5 juta dalam pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi yang mana memberi manfaat kepada 44,075 pelajar Sabah.
“Pada hari ini, seramai 88 pelajar menerima biasiswa kerajaan negeri iaitu Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah dan Anugerah MUIS,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyampaian Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-35 di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata, pelaksanaan Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) yang bermula sejak 2022 adalah selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurutnya, biasiswa berkenaan diberikan untuk meningkatkan taraf akademik anak-anak negeri Sabah.
“Sejak 2022 hingga 2023, seramai 20 orang pelajar menerima manfaat daripada program ini dan sebanyak RM 1.04 juta dibelanjakan.
“Sementara itu, Anugerah MUIS yang bermula sejak 2020 memberi manfaat kepada 50 pelajar sehingga tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri pada 2023 menambah peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM50 juta kepada RM101 juta, dengan seramai 7,304 pelajar menerima penajaan bagi meneruskan pengajian di dalam dan luar negara pada tahun ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sentiasa menyokong dan komited dalam memperkasa pembangunan modal insan menerusi pelbagai pembiayaan pendidikan antaranya tajaan biasiswa, bantuan pendidikan, sumbangan zakat serta pinjaman pendidikan, di negeri ini.
“Selain membantu meringankan beban yang ditanggung ibu bapa, pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan juga adalah untuk memastikan anak-anak tidak tercicir daripada arus pendidikan sekali dapat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Ini seiring dengan matiamat kerajaan negeri yang memberi keutamaan kepada pendidikan bagi melahirkan modal insan berdaya saing, berkemahiran dan berkualiti tinggi.
“Hanya menerusi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pendidikan tinggi anak-anak kita dapat bersaing dan berjaya sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri ini,” katanya.
— TAMAT
Add Comment