Home » Arifin harap Petronas dapat pertimbang wujudkan Pusat Sains di Membakut
Uncategorized

Arifin harap Petronas dapat pertimbang wujudkan Pusat Sains di Membakut

SIDANG MEDIA: Arifin sedang berkata sesuatu kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Iftar Perdana Petronas 2023.

MEMBAKUT: Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berharap Petronas dapat memberi pertimbangan untuk mewujudkan sebuah pusat sains di daerah Membakut.


Katanya, ia bukan sahaja bertujuan menggalakkan anak-anak muda terhadap sains tetapi juga sebagai usaha membudayakan sains, teknologi dan matematik kepada anak terutama golongan pelajar.


Jelas beliau lagi, dengan adanya sebuah pusat sains di Membakut ia sudah tentu akan memberi manfaat langsung kepada mereka (anak dan pelajar), sekiranya Petronas merealisasikan pertimbangan itu.


Tambah Arifin, satu tapak yang sesuai akan dikenal pasti bagi tujuan itu dan beliau percaya pusat sains itu nanti sebaiknya diwujudkan berhampiran dengan Perpustakaan Membakut bagi membolehkan kedua-duanya itu memberi manfaat kepada masyarakat setempat.


Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Borneo selepas mengagihkan sumbangan kepada golongan asnaf dalam Majlis Iftar Perdana Petronas 2023 dekat sini, kelmarin.


Turut hadir Ketua Petronas Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Operasi Petronas Sabah dan Labuan, Jasper Diego.

Dalam pada itu, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut memberitahu, sebuah pusat sains di Keningau sedang dalam pembinaan dan hampir siap yang diusahakan kerajaan Negeri Sabah.


Difahamkan status pusat sains yang diwujudkan di Perpustakaan Keningau kini sudah mencapai 90 peratus siap dan Arifin berharap pelaksanaannya itu akan terus berjalan dengan lancar.


Pada Majlis Iftar Perdana Petronas 2023 seramai 103 asnaf di sekitar daerah Membakut menerima sumbangan daripada Arifin yang diadakan di Dewan Kesenian Islam.

Kenneddy Corlleus