Home » Bakat nyanyian perlu digilap, diketengah kata Amisah
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Bakat nyanyian perlu digilap, diketengah kata Amisah

ALBUM: Amisah meluangkan masa merakamkan gambar kenangan sempena Pertandingan pra kelayakan Mukim Tanah Rata yang diadakan di Dewan Marakau.

RANAU: Penganjuran pertandingan karaoke ‘Paginatan Talent 2023’ yang diadakan di Dewan Marakau dekat sini pada Sabtu lepas diyakini dapat mencungkil bakat baharu dalam bidang nyanyian, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin.

Pertandingan pra kelayakan Mukim Tanah Rata ke peringkat akhir Paginatan Talent dianjurkan oleh Biro Kebudayaan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Paginatan yang ditaja bersama Aspirasi Wanita Sabah (AWS), Aliiff Sounder & Production (ASP) dan Nowhy Band.


Menerusi penganjuran itu, Amisah yakin bakat-bakat yang dimiliki peserta dapat diketengahkan dan pada masa sama membantu mengangkat ke peringkat yang lebih jauh seterusnya melahirkan artis tempatan.


Beliau berkata, Sabah mempunyai ramai bakat terutama dalam industri hiburan seperti nyanyian dan penganjuran seperti pertandingan yang diadakan seumpama ini dapat memberi galakan kepada mereka untuk menampilkan kebolehan masing-masing.


“Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan pertandingan yang diadakan pada malam ini. Saya percaya usaha ini secara tidak langsung dapat menonjolkan bakat-bakat baharu yang perlu diketengahkan.

“Saya yakin jika bakat-bakat ini digilap dari awal, Sabah dapat menampilkan ramai artis dan ia secara tidak langsung dapat menjana pendapatan menerusi industri ini seperti artis-artis lain yang terkenal dan popular, ” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amisah yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Paginatan berharap pertandingan karaoke yang diadakan di Mukim Tanah Rata secara tidak langsung dapat menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.


Katanya, kehadiran orang ramai pada program itu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, fahaman dan bangsa berupaya menyatukan lebih erat sesama masyarakat, untuk mengukuhkan silaturahim yang sedia terjalin.


Jelas beliau, rakyat perlu mengukuhkan lagi perpaduan yang wujud bagi menjamin kemakmuran berterusan sekaligus memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan yang lebih harmoni sesuai dengan semangat ‘Sabah Maju Jaya’.


Selain Mukim Tanah Rata terdapat lima lagi mukim akan mengadakan pertandingan pra kelayakan bagi berentap di peringkat akhir Paginatan Talent 2023, yang dijangka dirasmikan oleh Timbalan Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

— Kenneddy Corlleus