Home » Banyak kejayaan dicapai kerajaan negeri diterajui GRS – Nizam
Berita Gagasan Rakyat Politik

Banyak kejayaan dicapai kerajaan negeri diterajui GRS – Nizam

Nizam bersama beberapa penduduk yang hadir dalam program berkenaan.

TAWAU: Kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah mencapai banyak kejayaan khususnya dalam meningkatkan ekonomi dan pembangunan di Sabah sepanjang tahun ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan negeri telah membuktikan keupayaannya dalam mentadbir serta membangunkan ekonomi rakyat Sabah.

Katanya, sudah terbukti banyak kejayaan telah diukir oleh kerajaan negeri terutamanya melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Pelbagai usaha berterusan juga sedang dilaksanakan bagi memastikan kita berada pada landasan yang betul dan menjadi negeri yang lebih maju.

“Kita berharap lebih ramai pelabur datang supaya mudah untuk menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika memberi ucapan perasmian Sukan Hari Keluarga Kampung Tinagat Diambang Tahun Baharu, di sini hari ini.

Nizam berharap tahun 2024 akan menjadikan negeri Sabah yang tercinta ini terus gemilang dan memperolehi banyak pembangunan.

Mengulas mengenai program itu, beliau berkata, tiga kampung berdekatan iaitu Kampung Tinagat, Batu Payung dan Membalua adalah contoh terbaik yang perlu diikuti.

Katanya, ketiga-tiga kampung ini mempunyai semangat kesukarelawan sehingga berjaya membantu pihak berkuasa membanteras jenayah termasuklah aktiviti penyeludupan dadah dan barang kawalan.

“Mereka mempunyai kesatuan dalam kalangan warga kampung untuk menjaga perairan negara, seterusnya memberi maklumat kepada pihak keselamatan di daerah ini.

“Justeru, saya berbangga kerana kampung yang berada di DUN Apas ini boleh dijadikan contoh kepada kampung-kampung lain terutamanya yang terletak di pesisir pantai,” katanya.

Nizam turut berharap supaya ketiga-tiga kampung ini dapat mengekalkan kecemerlangan mereka serta sentiasa berkolaboratif dengan kerajaan dan pasukan keselamatan.

“Saya percaya dengan adanya program atau aktiviti kemasyarakatan seperti ini mampu meningkatkan hubungan akrab antara ketiga-tiga kampung ini.

“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini akan sentiasa menyokong dan mendokong setiap program yang dianjurkan khususnya melibatkan semua penduduk kampung,” katanya.

Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Apas, M Azriansyah Ali dan beberapa pemimpin di peringkat kampung.

— Hamzah Sanudin