RANAU: Golongan belia wajar diberikan ruang dan peluang untuk terbabit dalam penganjuran program di peringkat kampung seperti Majlis Sambutan Pesta Kaamatan, bagi memastikan mereka lebih cakna terhadap pembangunan komuniti setempat.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, penyertaan aktif belia dalam penganjuran program sedemikian bukan sahaja dapat mencungkil bakat kepimpinan, malah mampu menyatupadukan pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya, belia merupakan generasi moden yang berfikiran kreatif serta mempunyai pelbagai idea bernas yang boleh diketengahkan dalam usaha memperkasakan pembangunan kampung.
“Saya mencadangkan agar kepimpinan di peringkat kampung memberi peluang kepada golongan muda untuk menganjurkan program seperti Kaamatan.
“Langkah ini dapat mengeratkan hubungan antara generasi lama dan baharu, selain mengelakkan belia daripada disisih sehingga terjerumus dalam kegiatan kurang sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Tadau Kaamatan Peringkat Kampung Kinirasan, yang diadakan di Dewan Kampung Kinirasan, di sini, baru-baru ini.
Jonathan berkata, keharmonian dalam masyarakat tidak akan tercipta secara sendiri tanpa sebarang usaha, sebaliknya memerlukan gerakan tersusun yang digerakkan secara bersama.
“Kebahagiaan dan kebersamaan perlu diusahakan. Kita tidak boleh mengharapkan ia berlaku secara automatik tanpa ada yang memainkan peranan menganjurkan pertemuan, makan bersama dan sebagainya.
“Kalau kita mahukan keharmonian, kita perlu mulakan langkah dan buat sesuatu bagi menjayakan misi itu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Pesta Kaamatan adalah sebahagian daripada budaya masyarakat Sabah yang harus terus dikekalkan serta diwarisi oleh generasi akan datang.
“Kaamatan adalah perayaan yang bukan sahaja diraikan dengan penuh meriah, malah mampu menyatukan masyarakat pelbagai kaum, agama dan umur dalam satu semangat kebersamaan yang kukuh.
“Ia juga dapat menggalakkan kerjasama antara penduduk kampung dan mengeratkan silaturahim,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jonathan turut menyarankan agar pemimpin kampung memanfaatkan potensi tanah tinggi di Ranau sebagai tarikan pelancongan yang mampu menjana pendapatan kepada masyarakat setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur yang bertungkus-lumus menjayakan majlis berkenaan dan berharap usaha sedemikian dapat diteruskan pada masa akan datang.
Turut hadir, Ketua Unit Kesejahteraan Rakyat DUN Paginatan, Ivan Mario Benedict; Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Tinus Katin; Ketua Kampung Kinirasan, Salehuddin Aniajak dan Pengerusi JPKK Kampung Kinirasan merangkap penganjur program, Jalius Marudi.
–Hamzah Sanudin

























Add Comment