Home » Bukan sengaja tangguh pembentangan RUU Anti Lompat Parti – Hajiji
Politik

Bukan sengaja tangguh pembentangan RUU Anti Lompat Parti – Hajiji

MESYUARAT: Hajiji (kiri) bersama Speaker DUN Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya serta para Menteri Kabinet dan ADUN merakamkan gambar kenangan sebelum mesyuarat bermula.

KOTA KINABALU: Kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.


Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, bukan seperti yang didakwa pihak pembangkang, kerajaan negeri bukan sengaja untuk menangguhkan pembentangan RUU berkenaan bagi menyekat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat.


Katanya, RUU berkenaan melibatkan pindaan dalam perlembagaan negeri dan ia perlu diluluskan oleh Yang Dipertua Negeri dan Yang di-Pertuan Agong sebelum RUU itu boleh dibentangkan dalam sidang DUN.


Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Mesyuarat ‘Pre-Council’ di sini, hari ini.
“Adalah tidak benar dakwaan pembangkang bahawa kita sengaja melambatkan perkara ini kerana kita perlu mematuhi prosedur sedia ada,” katanya.


Hajiji berkata, RUU pindaan perlembagaan negeri memerlukan majoriti dua per tiga dalam DUN untuk ia diluluskan.


“Saya yakin RUU ini akan mendapat sokongan penuh daripada GRS dan Pakatan Harapan (PH) Sabah.


“Saya juga menyeru ADUN pembangkang untuk menyokong RUU ini memandangkan mereka turut mahu perkara ini diluluskan di Sabah,” katanya.


RUU Pindaan Perlembagaan Negeri adalah antara empat RUU yang akan dibentangkan pada mesyuarat pertama penggal keempat sidang DUN Sabah bermula 22 Mei sehingga 25 Mei 2023.


Selepas mesyuarat ‘Pre-Council’ itu, Hajiji turut menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Sabah (STAR) di sini.

— Yap Siong Han