Home » Bung yang patut berundur, bukan Ketua Menteri
Berita GRS Politik

Bung yang patut berundur, bukan Ketua Menteri

Dari kiri: Fairuz, Mandut and Dzulkarnain.

Kota Kinabalu: Sayap Pemuda Gagasan Rakyat dan Parti Bersatu Sabah mengecam gesaan Pemuda Umno Sabah agar Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor meletak jawatan sebagai Ketua Menteri berhubung dakwaan skandal perlombongan yang melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gabungan Rakyat Sabah.

Mereka berkata skandal perlombongan itu masih belum menyaksikan sesiapa yang didakwa, tidak seperti Ketua Umno Sabah Datuk Bung Moktar Radin, yang sedang menghadapi pelbagai tuduhan rasuah terhadapnya.  

Selain itu, Ketua Pemuda GRS Datuk Fairuz Renddan, berkata Ketua Menteri hanya boleh disingkirkan secara sah melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri atau melalui peletakan jawatan secara sukarela.  

“Tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan Ketua Menteri meletakkan jawatan untuk memudahkan siasatan,” kata Datuk Fairuz Renddan dalam satu kenyataan.  

“Berdasarkan video yang tular, tiada sebarang sebutan mengenai Ketua Menteri menerima wang atau terlibat dalam kes tersebut. Malah, video itu dengan jelas menunjukkan bahawa Ketua Menteri membuat keputusan untuk membatalkan Lesen Carigali kerana wujudnya pengaruh kartel,” tambahnya.  

Fairuz turut menarik perhatian kepada kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 17 November yang menyatakan siasatan sedang dijalankan.  

“Sehingga hari ini, nama Ketua Menteri belum dipanggil untuk memberikan keterangan, yang membuktikan beliau tidak terlibat dalam kes ini,” katanya.  

Katanya, Ketua Pesuruhjaya SPRM mengesahkan setakat ini tiada laporan dibuat oleh individu yang didakwa memberikan rasuah.

 “Kami ingin mengingatkan bahawa seorang Adun yang pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri masih kekal dalam jawatan walaupun sedang menjalani perbicaraan kes rasuah melibatkan jutaan ringgit.

 “Ironinya, beliau tidak pernah meletakkan jawatan, dan baru-baru ini Mahkamah Rayuan memerintahkannya membela diri,” katanya.  

Katanya, Pemuda Gagasan Rakyat menghormati proses undang-undang dan tidak akan terlibat dalam perbincangan atau provokasi di media sosial.

Ketua Pemuda Umno Sabah Sufian Abd Karim, dilaporkan berkata Hajiji, sebagai Ketua Menteri dan individu yang bertanggungjawab terhadap urusan negeri, perlu mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara itu.

“Hajiji sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah bagi membolehkan siasatan bebas dan telus dijalankan tanpa gangguan daripada pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan. 

Beliau turut menyeru agar siasatan menyeluruh dan tidak berat sebelah dilakukan terhadap Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), dan hasil siasatan itu didedahkan kepada umum untuk memulihkan keyakinan terhadap pentadbiran negeri.  

Sementara itu, Ketua Pemuda PBS Christoper Mandut berkata Umno Sabah sepatutnya menilai kedudukan mereka sendiri sebelum mendesak Hajiji meletakkan jawatan, merujuk kepada tuduhan rasuah RM2.8 juta melibatkan Pengerusi Umno Sabah Datuk Bung Moktar Radin, berkaitan pelaburan Felcra Bhd.

 Pada 18 November, Mahkamah Rayuan memerintahkan Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izzette Abdul Samad, untuk membela diri atas tuduhan tersebut.

 “Pengerusi mereka sendiri sepatutnya meletakkan jawatan untuk membolehkan siasatan yang telus dan bebas terhadap tuduhan rasuah itu,” kata Mandut.

 Sambil mengakui kebimbangan Sufian, Mandut menggesa Umno Sabah supaya “melihat diri sendiri di cermin” sebelum membuat desakan sedemikian.  

Katanya, Ketua Menteri sudah berkali-kali memberi jaminan kepada rakyat bahawa dakwaan rasuah terhadap beberapa Adun berkenaan telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“SPRM adalah badan bebas yang bertanggungjawab menangani rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan salah laku di negara ini. 

“Ketua Menteri telah berjanji untuk memberikan kerjasama penuh kepada siasatan SPRM. Adakah Sufian meragui kredibiliti SPRM? Mengapa mendesak Ketua Menteri meletakkan jawatan sedangkan beliau komited kepada ketelusan?” soalnya.

Mandut menambah kenyataan Hajiji bahawa beliau “tiada apa yang hendak disembunyikan” mencerminkan keikhlasan dan komitmennya terhadap kebenaran.Sementara itu, Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) berkata Bung Moktar sepatutnya memberi tumpuan kepada perbicaraan kes rasuah yang sedang dihadapinya dan menyerahkan tugas mengendalikan Umno Sabah kepada timbalannya.  

Pengerusi G57 Datuk Zulkarnain Mahdar berkata:“Umum mengetahui pilihan raya negeri Sabah akan diadakan tahun depan. Justeru ahli Umno Sabah di peringkat akar umbi amat memerlukan kepimpinan yang mempunyai lebih masa bersama mereka.

“Berbicara dari sudut moral dan integriti pula Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Sabah sepatutnya mendesak agar Bung meletak jawatan kerana isu rasuah yang dihadapi oleh beliau sudah tidak melayakkannya untuk memimpin.

“Sebagai bekas pimpinan aktivitis Umno barisan hadapan sejak sekian lama, nasihat ini dibuat demi kebaikan Umno di Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Keputusan Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada Khamis menetapkan 21 Januari bagi pengurusan kes dan 9-11 April 2025, 14-15 April, serta 5 dan 6 Mei 2025 bagi menyambung semula perbicaraan membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung, dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

— Harian Ekspres