KOTA KINABALU:Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) semalam membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu terhadap pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Hamdin Nordin, berhubung beberapa hantaran yang dimuat naik pada atau sekitar 1 Julai 2026.
Laporan tersebut dibuat susulan dakwaan bahawa individu berkenaan menerbitkan kenyataan yang mengaitkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dengan tindakan mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia menghalang kemasukan seorang aktivis, Asraf Sarafi Mohammad Azhar, ke negeri Sabah.
Menurut Wanita Gagasan Rakyat, dakwaan tersebut merupakan tuduhan yang serius, dipercayai tidak berasas dan berpotensi mengelirukan masyarakat, sekali gus boleh menjejaskan nama baik serta reputasi Ketua Menteri Sabah.
Selain itu, pihaknya turut membangkitkan satu lagi hantaran yang dimuat naik oleh individu yang sama yang mengaitkan Ketua Menteri Sabah, yang ketika ini sedang menunaikan ibadah umrah di Makkah, dengan watak Abu Jahal melalui kenyataan yang dianggap menghina dan memperlekehkan beliau.
Wanita Gagasan Rakyat Sabah berpandangan bahawa kedua-dua hantaran berkenaan berpotensi menimbulkan kebencian terhadap Ketua Menteri Sabah, mencemarkan reputasi beliau serta boleh mengganggu keharmonian dan ketenteraman awam sekiranya tidak ditangani mengikut saluran undang-undang.
Sehubungan itu, laporan polis dibuat bagi memohon agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan yang menyeluruh terhadap perkara tersebut di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang berkaitan, termasuk sekiranya wujud unsur fitnah, penyebaran maklumat palsu, komunikasi jelik atau apa-apa kesalahan lain yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Laporan polis tersebut diwakili oleh Exco Wanita Negeri, Julia Datuk Haji Ahmad Bahrom Titingan dan Masturah Haji Jamrah, disertai dua ahli Wanita Gagasan Rakyat Sabah. Wanita Gagasan Rakyat turut menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial dengan memastikan setiap kenyataan yang disebarkan adalah berasaskan fakta serta tidak menimbulkan fitnah, kebencian atau perpecahan dalam kalangan masyarakat.

























Add Comment