Home » Ewon hargai usaha kerajaan GRS PH Plus utamakan keperluan rakyat Kadamaian
Berita GRS Politik

Ewon hargai usaha kerajaan GRS PH Plus utamakan keperluan rakyat Kadamaian

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick ketika dalam sidang DUN berkenaan.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menghargai usaha Kerajaan Sabah atas sokongan kuat dalam menjadikan keperluan-keperluan rakyat Kadamaian sebagai keutamaan dalam projek pembangunan Kerajaan.

Katanya, projek berkenaan termasuklah infrastruktur (jalan, jambatan dan bangunan awam) dan bekalan utiliti (air, elektrik dan telekomunikasi).

“Sememangnya beberapa projek utama di Kadamaian sedang berjalan sekarang iaitu naik taraf Jalan Sayap, Jalan Tengkurus, Jalan Podos dan Jambatan Kaung, bekalan air dan elektrik luar.

“Pun begitu, keperluan rakyat Kadamaian masih banyak. Saya sekali lagi mahu merekodkan di Dewan ini agar Kerajaan Sabah dapat memasukkan dalam senarai keutamaan projek naik taraf Jalan Gaur-Bukid-Mangkulat, Jalan Kebidahan, Jalan Kinasaraban-Kelawat, Jalan Melangkap-Gensurai dan Jalan Kiau-Lobong-Lobong yang menjadi laluan jalan utama rakyat Kadamaian,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri Sabah 2025, di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau juga mencadangkan agar laluan ketiga mendaki ke Gunung Kinabalu dapat dibina daripada Kg. Sayap dan kemudahan infra pelancongan kaki gunung Kinabalu di Kg. Kiau, Kg. Gensurai dan Kg. Melangkap dapat disediakan serta kemudahan laluan serta infra yang bersesuaian untuk pelancongan di Gunung Nungkok di Kg. Lobong-Lobong, Kg. Kaung dan Kg. Tambatuon juga dapat disediakan.

Ewon juga mengalu-alukan penganjuran semula Mount Kinabalu International Climbathon. 

“Untuk ini saya mencadangkan agar Kerajaan Sabah juga membangunkan sukan berasaskan Gunung Kinabalu yang lain seperti Kinabalu Ultra Marathon yang boleh melalui laluan larian mencakupi beberapa daerah bersempadan Gunung Kinabalu.

“Kerajaan boleh menaik taraf Kadamaian Ultra Marathon yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lepas untuk dibangunkan bagi tujuan ini. 

“Laluan yang sama bukan hanya boleh digunakan untuk pelari lasak marathon, tetapi juga penggemar basikal gunung (mountain bikers),” katanya.

Bagi pihak rakyat Kadamaian, Ewon berterima kasih di atas pelaksanaan penyukatan tanah di bawah Program Penyukatan Tanah Anak Negeri (PANTAS) yang telah dilaksanakan di Kg. Kiau dan Kg. Tambatuon. 

Beliau berharap Program PANTAS ini dapat diteruskan di Kadamaian sekurang-kurangnya satu kampung setiap tahun terutama di kampung-kampung yang berkecerunan tinggi seperti Kg. Sayap, Kg. Terintidion, Kg. Melangkap, Kg. Lobong-Lobong, Kg. Kaung, Kg. Gensurai, Kg. Podos, Kg. Pinolobuh, Kg. Lasau dan Kg. Lahanas serta kampung-kampung yang lain.

Pada masa ini katanya, Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah sedang melaksanakan Kajian Penilaian Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035.

“Apabila kajian penilaian ini siap kelak, saya akan memanjangkan laporannya kepada Kerajaan Sabah untuk dijadikan sebagai dokumen input rakyat Kadamaian bagi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) 2026-2030 kelak, termasuk Rancangan Pembangunan Sabah dalam tempoh itu,” katanya. 

–Yap Siong Han

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment