Home » Feri KK-Labuan beroperasi semula, lonjak ekonomi rentas wilayah
Berita GRS Politik

Feri KK-Labuan beroperasi semula, lonjak ekonomi rentas wilayah

PELANCARAN: Hajiji (tengah) memotong reben pada Majlis Pelancaran Jeti dan Perasmian Perkhidmatan Feri Kota Kinabalu-Labuan sambil diperhatikan oleh Zaliha (dua kiri) dan Shahelmey (dua kanan).

KOTA KINABALU: Selepas beberapa tahun tidak beroperasi, kini perkhidmatan feri penumpang antara Kota Kinabalu-Wilayah Persekutuan Labuan kembali beroperasi semula.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, langkah itu sekali gus memperkukuh jaringan pengangkutan laut dan membuka semula laluan penting kepada mobiliti rakyat serta perkembangan ekonomi rentas wilayah.

Katanya, pengoperasian semula laluan berkenaan bukan hanya satu langkah logistik, tetapi juga isyarat jelas keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat di Sabah dan Labuan.

Menurutnya, perkhidmatan feri itu amat penting kepada rakyat kerana ia bukan sekadar laluan perhubungan, tetapi penghubung kekeluargaan, pendidikan, pelancongan dan perniagaan yang terjalin sejak sekian lama.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jeti dan Perasmian Feri Penumpang Kota Kinabalu–Labuan di Pelabuhan Kota Kinabalu di sini hari ini.

Hajiji berkata, gangguan perkhidmatan yang berlaku sebelum ini disebabkan beberapa faktor seperti struktur jeti yang tidak selamat, penarikan subsidi minyak kepada pengusaha serta kesan pandemik COVID-19, yang mengganggu kesinambungan mobiliti rakyat.

Katanya, sebagai langkah penyelesaian segera, terminal feri dipindahkan dari Jesselton Point ke Pelabuhan Kota Kinabalu, dengan pengurusan operasi kini dikendalikan sepenuhnya oleh pihak Pelabuhan Kota Kinabalu. 

“Projek ini turut menerima peruntukan RM1.3 juta daripada Kementerian Wilayah Persekutuan bagi kerja-kerja penambahbaikan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat termasuk Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP), Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS), Kementerian Kerja Raya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kumpulan Suria yang berganding bahu merealisasikan inisiatif ini,” katanya.

Menurutnya, perkhidmatan feri itu dijangka memberi impak positif terhadap sektor pelancongan negeri, terutama menjelang Tahun Melawat Sabah 2026.

Pada masa sama katanya, ia juga membuka peluang baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan antara Sabah dan Labuan.

Beliau berkata, hubungan antara Sabah dan Labuan tidak hanya terbatas kepada aspek geografi, tetapi turut melibatkan sejarah, budaya dan hubungan sosial yang mendalam, menjadikan laluan ini sangat signifikan kepada rakyat kedua-dua wilayah.

“Ramai rakyat Sabah bekerja dan menetap di Labuan, dan sebaliknya. Justeru, sambungan semula laluan ini amat bermakna kepada ramai pihak.

“Dengan beroperasinya semula perkhidmatan ini, rakyat kini mempunyai lebih banyak pilihan pengangkutan sama ada menggunakan laluan udara, jalan darat ke Menumbok atau terus melalui feri ekspres dari Kota Kinabalu ke Labuan seperti sebelum ini,” jelasnya.

Hajiji berkata, pelancaran itu juga menandakan permulaan kepada satu rangka kerja pengangkutan laut yang lebih kukuh, cekap dan lestari, sesuai dengan aspirasi negeri untuk menyediakan kemudahan mesra rakyat dan mesra alam kepada generasi akan datang.

Beliau memberi jaminan kerajaan negeri komited untuk memastikan tiada rakyat yang terpinggir akibat kekangan logistik, dan pembangunan infrastruktur akan terus dipacu demi kemajuan inklusif.

“Semoga jeti dan perkhidmatan feri ini menjadi jambatan yang menghubungkan bukan sahaja wilayah, tetapi juga silaturahim, peluang ekonomi dan harapan masa depan rakyat,” katanya.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa; Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya dan Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Limus Jury.
  

–Siti Aisyah Narudin