Home » Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan tekad suarakan isu dan masalah akar umbi
Uncategorized

Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan tekad suarakan isu dan masalah akar umbi

ALBUM: Mazlan (duduk tengah) merakamkan gambar kenangan bersama barisan kepimpinan Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan sempena majlis itu.

BEAUFORT: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Lumadan tekad untuk memperjuangkan isu serta masalah rakyat terutama di peringkat akar umbi dan pada masa sama menyalurkan suara nadi rakyat kepada kerajaan.


Ketua Penaja Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan, Mazlan Joehari Manan berkata, parti itu sedia memberi khidmat kepada rakyat terutama di bahagian Lumadan bagi menangani sebarang isu dan permasalahan rakyat terutama berkaitan jaringan jalan raya, masalah bekalan air dan peluang pekerjaan.


“Gagasan Rakyat Lumadan akan terus memperkuatkan langkah dan memperkembangkan agenda pembangunan negeri Sabah oleh kerajaan negeri Sabah melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya kepada rakyat.


“Gagasan Rakyat merupakan sebuah parti tempatan yang ditunjangi oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, sudah tentu akan memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah terutamanya yang melibatkan isu-isu dalam perjanjian Malaysia MA63, ” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) Penaja Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan, pada Ahad lepas.

Mazlan (dua kanan) menyampaikan watikah pelantikan kepada Noorbayah Musah selaku Timbalan Pengerusi Tetap sempena majlis itu.

Dalam pada itu Mazlan turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat kerana telah melantik beliau sebagai Ketua Penaja Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan.


Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua AJK Penaja yang telah terpilih dan dilantik menganggotai Jawatankuasa Bahagian Gagasan Rakyat Lumadan.


“Sebagai salah seorang Ketua Bahagian yang muda dalam barisan baharu Ketua-Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sabah ini, agenda keutamaan adalah untuk menarik minat rakyat Sabah terutamanya golongan muda untuk memperjuangkan hak dan nasib rakyat Sabah melalui platform parti politik tempatan Gagasan Rakyat Sabah, ” katanya.


Jawatan Pengerusi Tetap bagi Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan adalah Bisno Saari manakala Noorbayah Musah adalah Timbalan Pengerusi Tetap. Timbalan Ketua Bahagiannya ialah Muanam@Shafie Mujiarto manakala Naib Ketua Bahagian adalah Tajudin Asari.


Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Lumadan ialah Datuk Surinam Sadikun; Ketua Pemudanya, Muzulwansyah Mohamad dan Ketua Beliawanis ialah Norlizawati Panai. Mohammad Anuar Abu Bakar adalah Setiausaha, dan Bendahari, Malan Olim manakala Ketua Penerangan ialah Zainih Bukhari.


Seramai 16 AJK dilantik iaitu Datuk Omar Raisul As Salam Omar Syah A. S. Salam; Dayang Surinah Mohd Karim; Junli Usop; Md Roslan Suhailin; Suzie Hamat; Nadin@Maidin Salleh; Jusli Olim; Zainal Abidin Omar Ali; Sitlin Jahari; Masri Latif; Abdul Sani Mokjin; Alias Anjam; Ag Ku Zaidi Pg Wahab; Sahadun Urus; Hasan Pail dan Saiful Ibrahim.

Kenneddy Corlleus