KOTA KINABALU:Pertarungan politik di Sabah menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 2025 dijangka menjadi antara paling sengit dalam sejarah negeri itu apabila tiga blok besar Umno/BN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan ,masing-masing bersedia mempertaruhkan pengaruh dan kelangsungan politik mereka.
Uniknya, dua daripada tiga blok ini ,GRS dan Warisan, lahir daripada “serpihan” Umno Sabah sendiri. Justeru, pertembungan kali ini bukan sekadar perebutan kuasa, tetapi juga medan penentuan siapa yang benar-benar mewarisi semangat perjuangan rakyat Sabah.
Bagi kepimpinan Umno, kedua-dua GRS dan Warisan sering dilihat sebagai pengkhianat yang menggugat dominasi mereka. Namun, realiti politik hari ini menunjukkan sebaliknya.
Parti Warisan pernah diberi peluang memerintah tetapi gagal mempertahankan kepercayaan rakyat, sementara GRS di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor muncul sebagai kerajaan stabil yang menumpukan perhatian kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“GRS bukan serpihan, tetapi evolusi politik Sabah yang lebih matang — berasaskan kepimpinan tempatan dan agenda rakyat,” ujar pemerhati politik tempatan,Musram Haji Rakunman dalam analisisnya.
Jika dibandingkan, Umno/BN mentadbir Sabah selama lebih dua dekad, sementara GRS baharu lima tahun. Namun, dalam tempoh singkat itu, GRS berjaya melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
Antara inisiatif utama termasuk:
i.Rumah Mesra SMJ bagi membantu golongan B40 memiliki kediaman.
ii.Insurans Rakyat SMJ untuk perlindungan sosial rakyat Sabah.
iii.Bantuan Tunai Syukur dan Bantuan PIBG untuk pelajar dan sekolah.
iv.Tambang Pulang Kampung & Tiket Kapal Terbang Pelajar bagi meringankan beban keluarga luar bandar.
v.Program BUDI dan BAKTI bagi memperkukuh pembangunan modal insan belia Sabah.
Program-program ini membuktikan bahawa GRS bukan sekadar pandai berjanji, tetapi melaksanakan dasar berpaksikan rakyat dengan hasil nyata di lapangan.
Pemerintahan GRS juga memperlihatkan peningkatan hasil negeri, rizab kewangan dan nilai pelaburan yang melonjak berbanding sebelumnya.
Trend positif ini menjadi petunjuk kepada keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan kecekapan pentadbiran GRS. Dalam masa yang sama, rakyat menikmati manfaat terus daripada pembangunan infrastruktur, pendidikan dan peluang ekonomi baharu.
Menurut Musram, dalam suasana politik Sabah yang dinamik, pengundi kini lebih matang menilai prestasi berbanding retorik.
“Rakyat melihat hasil, bukan sejarah; menilai keberkesanan, bukan kesetiaan membuta tuli,” katanya.
Dengan lebih 1.7 juta pengundi di Sabah, kecenderungan semasa menunjukkan ramai memilih untuk kekal bersama GRS yang terbukti membawa kestabilan dan pembangunan.
Pertarungan tiga blok politik utama ini jelas menggambarkan pertembungan antara masa lalu (Umno/BN), masa kini (GRS) dan masa depan (rakyat Sabah sendiri).
GRS telah membina momentum baharu dan terbukti mampu mentadbir dengan rekod pencapaian jelas; Warisan masih mencari tapak kukuh; manakala Umno berusaha menghidupkan semula legasi lamanya.
“Akhirnya, rakyat akan membuat pilihan. Dan seperti kata pepatah, yang lama jangan dikenang jika yang baharu lebih memberi harapan,” simpul Musram.
— TAMAT

























Add Comment