Home » GRS perlu terus kukuhkan kerjasama hadapi PRN17
Berita GRS Politik

GRS perlu terus kukuhkan kerjasama hadapi PRN17

HADIR: Hajiji ketika berada di persidangan LDP 2024.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu memperkukuh kerjasama, mengeratkan perpaduan dan memperhalusi strategi dalam memastikan gabungan itu menang pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, semua parti komponan dalam GRS perlu memastikan gabungan itu menjadi pilihan terbaik kepada seluruh rakyat Sabah.

“Ini kerana kita bukan sahaja berupaya serta berkebolehan, komited dan berdedikasi, tetapi juga ikhlas dalam perjuangan, ikhlas memajukan negeri serta ikhlas membela nasib rakyat jelata.

“Saya menyeru kepada ahli-ahli Parti Liberal Demokratik (LDP), kepada orang-orang GRS, agar kita semua kekal berdiri teguh di bawah panji-panji perjuangan ini.

“Kita raikan semangat perpaduan, kita julang tinggi-tinggi semangat permuafakatan agar kebersamaan dan kesatuan kita ini di dalam GRS subur dan membugar, menjadi teras kekuatan dan keteguhan kita bersama dalam menghadapi musuh-musuh politik yang sentiasa ingin menumpaskan perjuangan kita kerana hasad dengki dan iri hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan dan Pemilihan LDP 2024, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, walaupun pihaknya agak perlahan, namun komited untuk terus mengorak langkah ke arah kejayaan.

Katanya, perjuangan tidak akan selesai dalam sehari dua kerana ia memerlukan usaha yang berterusan, hati yang cekal dan tabah, serta semangat yang kental serta pantang berputus asa.

Dalam pada itu katanya, setelah lebih empat tahun menubuhkan kerajaan, banyak yang telah dilaksanakan bagi membawa perubahan dan kemajuan di Sabah.

Menurutnya, sejak dilancarkan pada bulan Mac, 2021, Hala Tuju Sabah Maju Jaya telah berjaya memulihkan ekonomi Sabah.

“Pada tahun lalu sahaja, nilai pelaburan yang masuk ke Sabah berjumlah RM11.34 bilion, iaitu yang ketujuh tertinggi dalam negara.

“1Suka saya maklumkan di sini, bahawa beberapa buah lagi syarikat bakal memulakan operasi mereka, terutama di kawasan Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) pada tahun hadapan dengan nilai pelaburan berbilion ringgit.

“Ini dibuktikan dengan termeterainya beberapa lagi MoU antara SOGIP dengan syarikat-syarikat pelabur berkenaan yang sebenarnya telah memenuhi keseluruhan kawasan taman perindustrian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, prestasi cemerlang yang dicapai itu disebabkan pemimpin kerajaan negeri hari ini mempunyai kesungguhan dan iltizam politik yang tinggi.

“Pertama, untuk mewujudkan kestabilan politik. Kedua, untuk memulihkan semula ekonomi. Ketiga, bekerja keras untuk memantapkan sistem penyampaian dalam sektor awam…termasuk meneruskan kerjasama dan kolaborasi dengan sektor swasta dan keempat, menjaga hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan.

“Keempat-empat pendekatan ini telah berhasil membawa negeri ini kembali ke landasan yang tepat dan kita berharap rakyat akan terus memberikan mandat kepada kita pada PRN akan datang, kerana agenda besar kita dalam Hala Tuju SMJ masih banyak yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, ke arah pembangunan yang holistik dan inklusif, selaras dengan agenda besar Hala Tuju SMJ, kerajaan negeri telah menyediakan
dana yang besar untuk program Pembangunan Modal Insan bagi sekolah-sekolah cina.

Untuk itu katanya, peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) telah ditambah sekali ganda menjadikannya kini berjumlah RM118 juta.

“Dengan penambahan ini diharap lebih ramai lagi anak-anak Sabah yang berkelayakkan dapat dibantu disegi pembiayaan kos pengajian mereka di institusi-institusi pengajian tinggi.

“Disamping itu, kerajaan negeri telah menyediakan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS), termasuk beberapa insentif lain dengan objektif untuk membantu rakyat yang sangat-sangat memerlukan bantuan segera, terutama mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

Menurutnya, sejak termeterainya perjanjian Commercial Collaboration Agreement (CCA) dengan Petronas pada Disember 2021, kerajaan negeri telah mendapat penyertaan yang lebih berkesan di dalam pembangunan industri minyak dan
gas di perairan Sabah.

Katanya, kerajaan negeri kini memperolehi 50 peratus ekuiti (pegangan saham) di Lapangan Minyak dan Gas di Semarang, 25 peratus di Samur Petrochemical Plant, 25 peratus lagi di ZLNG di Sipitang, dan 10 peratus di Petronas LNG9.

Selain itu katanya, Petronas telah juga membayar 5 peratus Cukai Jualan, selain 5 peratus royalty minyak.

“Demikianlah antara usaha dan strategi kita selama empat tahun kebelakangan ini, bekerja keras dan berjuang bagi memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat.

“Semoga usaha murni yang kita perjuangkan ini, dengan sokongan padu semua pihak, termasuk daripada LDP dan parti-parti komponen GRS yang lain, ke arah memakmurkan negeri dan membela rakyat,” katanya.

— TAMAT