Home » GRS tekad perkukuh reformasi undang-undang dan institusi negeri Sabah
Berita GRS Politik

GRS tekad perkukuh reformasi undang-undang dan institusi negeri Sabah

Armizan semasa sidang media di SICC hari ini.

KOTA KINABALU:Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menjadikan reformasi undang-undang dan institusi sebagai antara tawaran utama dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025, kata Timbalan Setiausaha Agungnya, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, agenda itu merupakan kesinambungan usaha yang telah digerakkan sejak tahun 2021 hingga 2025, dan akan terus diperkukuh bermula tahun 2026 sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri.

“Reformasi ini bukan sekadar janji dalam manifesto, tetapi pelan tindakan jangka panjang yang telah dan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh sistem pentadbiran serta perundangan negeri,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sejak GRS mengambil alih pentadbiran negeri pada November 2020, sebanyak 51 enakmen negeri telah digubal atau dipinda bagi memperkukuh pelbagai aspek undang-undang negeri. Antara yang utama termasuk Enakmen Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2022, Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023, Enakmen Bekalan Gas 2023, serta Enakmen Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 yang memperkenalkan peruntukan berkaitan anti lompat parti.

Selain itu, beberapa akta baharu turut diperkenalkan seperti Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025, sejajar dengan keutamaan kerajaan negeri terhadap agenda tenaga bersih dan kelestarian alam sekitar.

Datuk Armizan turut menjelaskan bahawa antara kejayaan penting dalam konteks reformasi institusi ialah pemerkasaan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah (JPBNS) bagi mengendalikan semua kes jenayah di bawah undang-undang negeri Sabah.

Beliau berkata, langkah itu membolehkan JPBNS memainkan peranan sebagai Timbalan Pendakwa Raya (Deputy Public Prosecutor), sekali gus meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta tindakan pendakwaan.

“Kelulusan pemerkasaan ini telah diwartakan melalui Warta Kerajaan Persekutuan pada 6 April 2023. Sejak itu, mana-mana agensi perlu mendapatkan kebenaran daripada JPBNS sebelum memulakan pendakwaan terhadap kesalahan di bawah undang-undang negeri seperti Ordinan Tanah, Enakmen Perhutanan dan Enakmen Perlindungan Alam,” katanya.

Menurut beliau, kelulusan itu turut membolehkan Jabatan Peguam Besar Negeri memberi tumpuan khusus kepada kesalahan di bawah undang-undang negeri Sabah yang sebelum ini dikendalikan oleh Jabatan Peguam Negara.

Dalam pada itu, Datuk Armizan berkata, kerajaan negeri juga menubuhkan Majlis Penasihat Pembaharuan Undang-Undang Sabah (SLRAC) pada 31 Julai 2025 sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh agenda reformasi undang-undang dan institusi.

Majlis bebas itu dipengerusikan oleh Tan Sri David Wong Dak Wah, mantan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, serta dianggotai tokoh-tokoh perundangan terkemuka seperti Datuk Daniel Tan Jwee Peng, Dr. David Fung Yin Kee, Datuk John Sikayun, Datuk Roger Chin Ken Fong dan Puan Shakinur Ain binti Karama.

“Penubuhan SLRAC ini menunjukkan kesungguhan GRS untuk memastikan undang-undang negeri lebih jelas, berkesan, adil dan relevan dengan keperluan semasa,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa reformasi undang-undang dan institusi yang dilaksanakan GRS membuktikan kesungguhan gabungan itu dalam membawa perubahan sebenar untuk rakyat Sabah.

“GRS bukan sekadar menabur janji, tetapi melaksanakan perubahan dengan pendekatan strategik dan berani,” katanya.

— Liza Din