Home » Hajiji ikrar sokong penuh Kerajaan Perpaduan 
Berita Gagasan Rakyat Politik

Hajiji ikrar sokong penuh Kerajaan Perpaduan 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bergambar bersama alumni kelas pertama tahun 1963 Native Volunteer School Bundung pada Majlis Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung Tuaran pada Selasa.

TUARAN: Kerajaan Sabah komited untuk terus memberi sokongan padu kepada barisan Jemaah Menteri baharu bagi memastikan kelancaran pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata rombakan Kabinet itu sudah pasti bertujuan membawa kebaikan bukan hanya dalam sistem pentadbiran tetapi juga hasilnya kepada rakyat.

“Kita amat mengalu-alukan. Setelah setahun Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, beliau memikirkan perlu ada sedikit perubahan.

“Rombakan untuk menempatkan mereka (jemaah menteri) di tempat (kementerian) yang sesuai bagi membantu beliau mentadbir kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jubli Intan (1963-2023) Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung di sini, pada Selasa.

 Barisan kabinet diumumkan Anwar pada Selasa antara lain menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) setelah memangku tugas itu sebelum ini.

Seorang lagi menteri dari Sabah iaitu Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang, kekal menggalas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Hajiji berkata pelantikan Armizan sebagai Menteri KPDN adalah satu perkembangan baik dan diyakini mampu menjalankan tugas di kementerian itu, yang disifatkan sebagai cukup mencabar kerana melibatkan isu-isu kos sara hidup rakyat.

“Beliau (Armizan) telah menjalankan tugas memangku beberapa bulan dan mungkin kerana itu Perdana Menteri melihat beliau boleh diberi peluang, maka beliau dipindahkan ke kementerian ini (KPDN).

“Saya yakin beliau boleh menjalankan tugasnya. Begitu juga dengan Datuk Ewon, saya nampak di bawah kepimpinan beliau kementeriannya memang cukup memuaskan,” katanya.

— BERNAMA

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment