KIULU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memastikan kestabilan politik di Sabah terus terpelihara bagi membolehkan kerajaan negeri melaksanakan agenda pembangunan secara terancang dan berkesan.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata hanya melalui kestabilan politik serta kerjasama yang mantap dengan kerajaan Persekutuan, lebih banyak pembangunan dapat dibawa masuk ke Sabah.
Katanya, sokongan rakyat amat diperlukan bagi memastikan GRS dikembalikan sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 (PRU DU Sabah 17).
“Kita memerlukan mandat rakyat. GRS mesti dikembalikan sebagai kerajaan untuk memastikan kestabilan politik di Sabah kekal terjamin,” katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat pada Isnin di Dewan Terbuka Kiulu.
Mengulas dakwaan pembangkang yang menuduh kerajaan Persekutuan “mengambil segalanya daripada Sabah”, Hajiji menegaskan bahawa kenyataan itu tidak berasas.
“Sebagai sebuah negara, Sabah perlu bekerjasama dengan Persekutuan. Namun itu tidak bermakna kita tunduk. Dalam setiap pertemuan, saya sentiasa tegas mempertahankan hak-hak Sabah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa akan menjadi satu kerugian besar sekiranya GRS tidak diberikan peluang untuk meneruskan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Hajiji turut menolak dakwaan pembangkang bahawa kerajaan GRS gagal, sebaliknya menyatakan bahawa rekod pemerintahan pembangkang sebelum ini sendiri tidak menunjukkan kemampuan.
“Pembangkang hanya mampu menjadi kerajaan negeri selama lebih dua tahun. Itupun penuh ketidaktentuan. Mereka sudah kehabisan idea, sekadar mengulangi retorik lama tanpa sebarang solusi,” jelasnya.
Dalam majlis itu, Hajiji menyatakan keyakinan bahawa penyandang, Datuk Joniston Bangkuai, akan terus mendapat kepercayaan pengundi Kiulu berdasarkan rekod prestasi dan sumbangannya kepada rakyat.
“Joniston sudah membuktikan khidmatnya. Saya yakin beliau akan kembali dipilih sebagai ADUN Kiulu,” katanya.
Dengan tempoh empat hari lagi sebelum hari pengundian, Hajiji menyeru rakyat untuk membuat pilihan yang tepat dan memastikan kesinambungan pembangunan yang telah dilaksanakan dapat diteruskan lima tahun akan datang.
— TAMAT

























Add Comment