Home » Hajiji tiupkan gelora semangat `rumah kita’
Berita Gagasan Rakyat Politik Sudut Pandangan

Hajiji tiupkan gelora semangat `rumah kita’

PERJUANGAN: Hajiji bersama sebahagian barisan kepimpinan Ahli Majlis Tertinggi sempena persidangan agung tahunan kelmarin.

PETANG Isnin, dewan utama Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bergema dengan laungan semangat. Bergegar bagai halilintar. Sorakan dan tepukan silih berganti. 

Demikian suasana Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) ketika presidennya, Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor, menyampaikan ucapan dasar.

Di hadapan kira-kira 3,000 perwakilan dan pemerhati, Hajiji menceritakan sejarah dan pengalaman Gagasan Rakyat mengharungi pelbagai rintangan sepanjang kira-kira tiga tahun mentadbir negeri.

Beliau turut melontarkan gagasan besarnya untuk parti dalam mengharungi cabaran mendatang, baik di medan politik mahupun di pentas ekonomi.

Mengawali ucapan mengalu-alukan perwakilan dengan sebutan `Denakan’ dan `Tompinai Ngavi’,  Hajiji menyatakan penghargaan kepada semua yang terus mendokong perjuangan parti itu.

Baginya, kebersamaan itu amat signifikan bagi melakar semangat muafakat yang lebih bernilai dan bermakna, dalam kerencaman dinamika dan landskap politik Sabah yang penuh warna-warni.

Sepanjang ucapannya, dewan sesekali menjadi senyap lantaran perwakilan mahu mengamati inti pati ucapan yang disampaikan oleh Hajiji. Tapi sebaik beliau menghabiskan ungkapan dengan intonasi yang bersemangat, perwakilan spontan menyahutnya dengan tepukan dan sorakan bergemuruh.

Kehangatan lebih terasa lagi ketika Hajiji selesai membacakan lima pantun yang diselang-seli dalam ucapannya itu.

Yang jelas, sejak awal hingga penghujung ucapannya, tepukan hangat bergelora dan terasa panas membara biarpun dewan yang berhawa dingin itu.

Demikian juga ketika Hajiji menyentuh tentang cubaan rampasan kuasa oleh segelintir pemimpin bagi menjatuhkan kerajaannya awal tahun ini.

Jeritan kuat kedengaran. Tanda protes dan kemarahan terhadap kisah kudeta politik itu yang menyebabkan kerajaan nyaris-nyaris lumpuh serta hilang kelayakan untuk meneuskan pentadbiran.

Di penghujung ucapannya, Hajiji membangkitkan semangat perjuangan luar biasa kepada perwakilan bagi memastikan Gagasan Rakyat terus padu dan jitu.

“…bangkit menentang segala tohmahan, hasutan dan fitnah, bangkit bagi menegakkan kebenaran dan keadilan, bangkit bagi memperjuangkan hak-hak dan bangkit bagi membela agama, tanah tumpah darah dan bangsa tercinta.”

Ungkapan itu ternyata benar-benar menusuk jiwa perwakilan dan pemerhati, apabila mereka sekali lagi menyahutnya dengan laungan semangat berkobar-kobar.

Seperti ketika pelancaran Gagasan Rakyat pada Mac tahun ini, Hajiji sekali lagi menyingkap perjuangan parti itu sebagai satu jajaran lokal dengan formula tempatan. Ia platform solidariti suara Sabah.

Setelah melalui pelbagai pengalaman, akhirnya diputuskan untuk membina rumah sendiri.

Beliau menyebut: “Cantik atau jelek, besar atau kecil, biarlah kita duduk di dalam rumah kita sendiri. Saya sering mengulangi frasa ini, parti kita ini adalah umpama rumah kita sendiri. 

“Rumah kita, kitalah tuannya. Rumah kita, kitalah penentu menu dan resipinya. Rumah kita, kitalah yang jaga!”

Di perenggan akhir ucapannya, Hajiji sekali menyita perhatian apabila mengulangi kata-kata yang sama. Kali ini, ia disertai oleh perwakilan dan pemerhati yang sama-sama menyebutnya secara spontan.

Hakikatnya, Hajiji berjaya meniupkan gelora semangat `rumah kita’ pada persidangan agung tahunan kali pertama itu.

*Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.