Home » Ia perkara ‘biasa’ di Sabah: Masidi
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Ia perkara ‘biasa’ di Sabah: Masidi

Masidi berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau, di sini, Isnin.

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun, menolak kenyataan baru-baru ini oleh sebuah parti komponen GRS mengenai tindakan ‘mencuri ahli’ dalam pakatan itu.

“Kita sudah lama mendengar isu ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ranau, di sini, Isnin.

“Manusia cukup bijak… sukar untuk mengatakan seseorang itu dicuri oleh parti lain, melainkan (mereka menyertai parti lain) atas kerelaan mereka sendiri.”

Namun begitu, beliau memberi jaminan isu itu akan diberi perhatian.

Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz menyaksikan penyerahan MRSM Ranau daripada Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi PETRONAS, Datuk Bacho Pilong kepada Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Encik Razlan Samsuri pada majlis penyerahan di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu pada Isnin.

“Bagaimanapun, ini adalah perkara kecil yang berlaku dalam kancah politik Malaysia. Ia bukan sesuatu yang baharu.

“Adalah tidak menghairankan untuk melihat seseorang yang mempunyai keahlian dengan empat parti berbeza.

“Saya tidak tahu motivasi mereka, tetapi pasti ia tidak menghairankan,” katanya.

Sambil mengakui ia perkara “biasa” di Sabah, beliau berkata, ia tidak akan menyebabkan perbezaan dalam gabungan GRS.

Sebelum ini dilaporkan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Ruslan Muharam kesal dengan tindakan segelintir pihak dalam GRS mencuri ahli sesama komponen yang boleh menyebabkan perpecahan dalam GRS.

Ruslan juga mendakwa tindakan itu termasuk “merasuah” ahli parti lain, terutama ketua cawangan, dengan jawatan untuk memikat mereka.

Beliau berkata adalah lebih baik berhenti mencuri ahli daripada rakan pakatan dan fokus kepada penyertaan individu bukan parti atau ahli parti lawan.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Timbalan Presiden SAPP Datuk Edward Dagul berkata mencuri ahli akan menyebabkan ketidakpercayaan dan perpecahan di kalangan GRS.

Bagaimanapun, Edward berkata kadangkala agak sukar untuk mengetahui sama ada individu itu adalah ahli parti politik lain.


Parti masing-masing, katanya, perlu mendapatkan pengesahan mengenai status pemohon sebelum meluluskan permohonan keahlian mereka bagi mengelak masalah keahlian berbilang parti.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata tindakan sedemikian adalah tidak bermoral dan tidak berintegriti.

Beliau mendakwa aktiviti seumpama itu berlaku di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri.

“Bagi saya, ini tidak betul, tidak bermoral, tidak berintegriti dan tidak yakin dengan perjuangan mereka,” katanya dalam catatan Facebook, Isnin.

— Harian Ekspres