KOTA KINABALU:Umat Islam disaran terus menjadikan al-Quran sebagai pusat rujukan utama serta jalan penyelesaian kepada masalah dan cabaran dalam kehidupan sehari-hari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Dilantik), Datuk Amisah Yassin berkata, hal ini kerana al-Quran mengajar umatnya mengenai pelbagai aspek termasuk perpaduan, keadilan dan kebajikan dalam mencapai kesejahteraan hidup.
Malah katanya, al-Quran menyediakan panduan lengkap dalam mengatasi pelbagai masalah sosial, cara memperbaiki kualiti kehidupan diri dan masyarakat.
“Negara kita kini berdepan dengan pelbagai cabaran global dan domestik, dari isu perubahan iklim yang semakin mendesakm ketidaksamarataan ekonomi sehingga perpecahan sosial.
“Dalam keadaan ini, al-Quran mesti menjadi sumber petunjuk paling utama,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran 1446H/2025M Peringkat Bahagian Pantai Barat Utara di Masjid Ar-Rahman di sini semalam.
Beliau berkata, majlis tilawah seperti itu bukan sekadar medan untuk menunjukkan kebolehan tetapi sepatutnya menjadi peringatan bahawa al-Quran itu adalah petunjuk hidup yang tidak hanya untuk dibaca tetapi dihayati.
“Dalam dunia yang serba pantas hari ini, kita sering terlupa untuk mendalami ajaran al-Quran yang sangat relevan dengan isu-isu seharian kita seperti integriti, kesejahteraan dan keadilan sosial.
“Melihat kepada perkembangan Malaysia Madani yang digagaskan oleh kerajaan, kita diingatkan untuk memastikan bahawa setiap aspek pembangunan negara, baik ekonomi, pendidikan, sosial dan keagamaan mesti berteraskan kepada nilai-nilai yang terkandung dalam al-Quran.
“Negara yang berpegang kepada nilai-nilai ini tidak hanya akan maju secara material tetapi juga masyarakat yang adil, makmur dan sejahtera,” ujar beliau.
Hamisah menarik perhatian mengenai ekonomi Malaysia Madani yang tidak bole dilihat kepada pembangunan infrastruktur dan kekuatan kewangan semata-mata tetapi juga kemajuan yang boleh dinikmati oleh setiap lapisan rakyat.
Katanya, dalam hal ini al-Quran mengajar kita bahawa kekayaan sebenar bukan untuk kesenangan individu tetapi mesti dikongsi bersama sebagaimana ayat al-Quran mengenai keperluan bersedekah kepada golongan yang memerlukan.
“Dengan prinsip ini, saya percaya bahawa kita dapat membina sebuah Malaysia yang Madani bukan sahaja maju dari segi ekonomi tetapi juga memiliki masyarakat yang adil, saksama dan penuh kasih sayang,” katanya.
Beliau turut melahirkan harapan agar generasi muda yang merupakan peserta tilawah dan hafazan agar dapat menjadi simbol kepada harapan dan semangat ke arah masa depan yang lebih baik.
“Semoga pencapaian anda semua akan menjadi inspirasi agar lebih ramai anak muda untuk mencintai al-Quran dan menjadikannya sebagai panduan hidup,” katanya.
— Tamat
Add Comment