PETALING JAYA: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan, mengecam seorang pemimpin Pemuda Umno kerana mendesak Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor meletakkan jawatan sebagai ketua menteri Sabah dan mencadangkan beliau mengambil alih sebagai pentadbiran interim.
Kitingan membalas kenyataan Bendahari Pemuda Umno, Naim Kurniawan Moktar, pada Khamis lalu yang berkata Hajiji perlu menunjukkan kepimpinan dengan berundur untuk ‘memberi laluan kepada Kitingan yang memiliki kredibiliti, integriti, dan reputasi positif’.
Kitingan, yang juga timbalan ketua menteri, berkata tidak wajar Naim membuat kenyataan seperti itu berdasarkan tuduhan dan spekulasi yang tidak berasas.
“Tiada sesiapa yang didakwa atau diheret ke mahkamah (berhubung dakwaan skandal rasuah melibatkan beberapa Adun), tidak seperti beberapa pemimpin Umno.
“Adalah tidak adil untuk mengaitkan nama saya dan menimbulkan kekeliruan, perpecahan, dan spekulasi dalam kalangan ahli Gabungan Rakyat Sabah (gabungan memerintah) … atau mungkin ini atas nama satu permainan (politik)?” katanya kepada FMT.
Naim sebelum ini berkata terdapat ‘krisis integriti, reputasi, dan kredibiliti’ berhubung skandal yang melibatkan Sabah Mineral Management, yang dikaitkan dengan Hajiji, beberapa menteri negeri, dan pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) di Sabah.
Ketua Pemuda Umno Sabah Sufian Abd Karim sebelum ini juga berkata, sebagai ketua menteri dan individu bertanggungjawab ke atas hal ehwal negeri, Hajiji mesti mengambil tanggungjawab penuh berhubung perkara itu.
Semalam, FMT melaporkan bahawa, STAR menyatakan sokongan penuh terhadap Hajiji, dengan timbalan ketua penerangan parti itu, Ardino Diris, menyifatkan desakan agar ketua menteri meletakkan jawatan sebagai bermotifkan politik.
Ardino turut menuduh Umno sebagai ‘tangan ghaib’ dalam politik negeri. Beliau berkata Hajiji telah membuktikan dirinya sebagai seorang pemimpin yang kuat dan inklusif, serta membawa kestabilan yang amat diperlukan di Sabah.
Terdahulu hari ini, FMT melaporkan siri video yang didedahkan seseorang didakwa pemberi maklumat dan mengaitkan beberapa Adun Sabah dengan dakwaan skandal itu, dilihat sebagai sebahagian plot yang diketuai Umno bertujuan menggugat kerajaan GRS.
Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin, yang menurut sumber sedang mengintai jawatan ketua menteri, bagaimanapun menegaskan desakan agar Hajiji meletak jawatan bertujuan membuka laluan siasatan telus dijalankan oleh pihak berkuasa.
Penyokong Hajiji, dalam menangkis gesaan agar beliau meletak jawatan, mengingatkan bahawa Bung sendiri pernah menjadi timbalan ketua menteri walaupun sedang menghadapi kes rasuah.
Bung berkata, tidak relevan bahawa tiada seorang pun yang diheret ke mahkamah, dan tanggungjawab penuh mesti dipikul Hajiji.
Ketika ditanya sama ada beliau bersedia mengambil alih jawatan Hajiji, Bung berkata, “Saya akan pertimbangkannya.”
— FMT
Add Comment