Home » Jangan terikut budaya pembangkang, perlekeh SMJ -Mohd Shahril
Politik

Jangan terikut budaya pembangkang, perlekeh SMJ -Mohd Shahril

Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin
Shahril menggesa supaya rakyat di negeri mengekalkan keharmonian bersama dengan tidak terikut-ikut dengan budaya sindir menyindir kerana apa pun isu yang menjadi bahan pembangkang, ada sebahagian telah tangani dan sebahagiannya sedang diusahakan secara berperingkat.

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan hasutan pembangkang terutama yang sering memperlekehkan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar).

Ini kerana katanya, tujuan pembangkang sebenarnya hanya mahu mengelirukan rakyat dan pada masa sama mewujudkan perbalahan agar dapat mengalihkan perhatian rakyat daripada melihat kebaikan yang telah dilakukan pimpinan kerajaan hari ini.


“Berbanding fitnah, kerajaan GRS telah membuktikan pelbagai usaha yang mana telah dinikmati manfaatnya oleh rakyat. Selain itu banyak juga perkara yang telah diperjuangkan pimpinan kerajaan hari ini terutama soal hak rakyat Sabah.


“Memperlekehkan SMJ juga tidak baik kerana ia dikhuatiri akan menjejaskan keharmonian rakyat Sabah sendiri. Saya yakin tidak ramai yang terpengaruh dengan hasutan kerana saya lihat ramai yang sedar usaha kerajaan yang telah menampakkan hasil sejak fasa pemulihan, ” katanya.


Justeru Shahril menggesa supaya rakyat di negeri mengekalkan keharmonian bersama dengan tidak terikut-ikut dengan budaya sindir menyindir kerana apa pun isu yang menjadi bahan pembangkang, ada sebahagian telah tangani dan sebahagiannya sedang diusahakan secara berperingkat.

“Pesan saya, janganlah diperlekehkan SMJ ini, sebaliknya tunjukkan lah semangat Sabahan dalam hati sebagai rakyat Sabah agar negeri kita terus melakar kejayaan demi kejayaan, ” katanya.


Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor baru-baru ini di Sukau menyelar tindakan pembangkang yang memperlekeh Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ, yang disifatkan sebagai tindakan yang tidak wajar.


Hajiji berkata, tindakan menjadikan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ sebagai bahan sindiran terhadap kerajaan negeri adalah tidak wajar sekali kerana ia jelas tidak menghormati ‘Sabah Maju Jaya’ sebagai cogan kata rasmi yang terkandung dalam jata atau lambang kebesaran Negeri Sabah.


“Kita pilih nama SMJ kerana ia terletak di jata Sabah sejak awal kemerdekaan kita. Saya guna itu untuk memartabat cogan kata itu dan memperkasakannya lagi.


“Inipun SMJ jadi kritikan. Mereka yang dengki dengan kita, mereka yang dulu tiada hala tuju, kerana itu selalu mereka mempunyai fikiran negatif cakap SMJ jalan berlubang, SMJ air tiada.

“Inilah yang dilakukan pembangkang hari ini. Ini niat tidak baik dan terlalu negatif kerana bagi kita SMJ adalah cogan kata yang mesti diperkasa dan dimartabat. Tiada orang guna ini sebelum saya tetapi saya guna ini untuk bangunkan Sabah,” kata Hajiji.

— TAMAT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment