Home » KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN: Jawapan kepada dakwaan Ketua Penerangan UMNO Sabah
Berita Gagasan Rakyat KENYATAAN MEDIA

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN: Jawapan kepada dakwaan Ketua Penerangan UMNO Sabah

Nizam berkata, WARISAN menjadi kerajaan hanya sebagai rekod, tiada tanda atau kesan positif yang boleh diingati rakyat kecuali gaya hidup pemimpin parti itu, sedangkan rakyat tidak mendapat pembelaan.

Semasa membentangkan Ucapan Dasar Presiden pada Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengingatkan ahli parti untuk bekerja bersungguh-sungguh, memantapkan jentera parti, menyantuni rakyat, berkhidmat dengan penuh iltizam agar parti mendapat mandat dengan kuasa yang cukup besar pada PRN17 akan datang.

Sokongan besar daripada rakyat cukup penting agar titik hitam politik Sabah menerusi tindakan cuba merampas kuasa daripada rakan-rakan parti awal tahun ini yang menyebabkan kerajaan hampir-hampir kehilangan kelayakan tidak akan berulang.

Gerakan “Kudeta” yang gagal itu memberi pengajaran erti sebenar mana kawan dan mana pengkhianat.

Kerajaan menghargai kematangan wakil rakyat PH yang mengutamakan aspirasi dan mandat rakyat di PRN16 dengan menyokong mengekalkan kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji untuk membolehkan kerajaan meneruskan pembelaan kepada rakyat melalui halatuju Sabah Maju Jaya.

Dakwaan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang mengaitkan seperti membuka pekung di dada kepada YAB Datuk Hajiji, Ketua Menteri merangkap Presiden Gagasan Rakyat, pada hakikatnya bagaikan menepuk air dalam dulang terpercik di muka mereka sendiri kerana kenyataan Datuk Suhaimi ini telah dengan sendirinya mendedahkan pengkhianatan mereka kepada mandat dan aspirasi rakyat.

Dakwaan Suhaimi bahawa punca UMNO Sabah marah kerana Hajiji tidak menunaikan janji dan menipu adalah tohmahan yang dibuat-buat untuk menutup kelemahan dan kegagalan kudeta yang digerakkan. Datuk Hajiji adalah seorang pemimpin dan Ketua Menteri yang terbuka dan mudah dibawa berbincang, sepatutnya Pengerusi UMNO Sabah yang juga berjawatan Timbalan Ketua Menteri ketika itu mempunyai akses yang cukup luas untuk berbincang termasuklah dalam Mesyuarat Kabinet Negeri.

Datuk Suhaimi seharusnya sedar bahawa Datuk Hajiji selaku Ketua Menteri membuat keputusan dengan mengambilkira semua pandangan rakan parti dalam komponen Kerajaan Sabah dan bukan hanya untuk UMNO Sabah sahaja.

Jika benarlah Datuk Hajiji seperti yang ditohmah oleh Suhaimi, tidak mungkin ramai pemimpin berdiri di belakang beliau, memberi sokongan moral sepertimana kehadiran pelbagai pemimpin termasuklah mantan pemimpin Sabah yang banyak berjasa kepada rakyat dan negeri turut hadir pada Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat baru-baru ini.

Sedarkah Suhaimi selaku ADUN dilantik oleh Datuk Hajiji, jika Datuk Hajiji selaku Ketua Menteri tidak setiakawan mengapa 5 ADUN UMNO Sabah kekal menyokong Ketua Menteri Datuk Hajiji dan tidak bersetuju dengan tindakan kudeta langkah Kinabalu yang gagal itu.

DATUK HAJI NIZAM DSP HAJI ABU BAKAR TITINGAN
KETUA PENERANGAN GAGASAN RAKYAT
(15 NOVEMBER 2023)