Home » Kerajaan iktiraf peranan APM bantu tangani bencana – Nizam
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS

Kerajaan iktiraf peranan APM bantu tangani bencana – Nizam

PENGHARAGAAN: Nizam (kiri) menerima cendera kenangan daripada Japli.

TAWAU: Kerajaan telah mengiktiraf peranan pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebagai pasukan yang dapat membantu menangani kejadian bencana di negara ini.

Pembantu Menteri Ketua Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, fungsi dan peranan APM dalam pengurusan bencana negara dilihat sangat besar.

Katanya, APM telah diberi tanggungjawab yang lebih besar dan menjadi tunggak dalam inisiatif pengurusan pengurangan risiko bencana berasaskan komuniti.

“Ia juga sekali gus meningkatkan kembali kepercayaan rakyat terhadap komitmen tinggi kerajaan dalam menangani kejadian bencana yang semakin mencabar dan kompleks  

“Saya percaya pengorbanan anggota APM terhadap masyarakat dan negara selama ini telah diiktiraf sehingga menjadi salah satu pasukan barisan hadapan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas merangkap Kolonel Kehormat (PA) berkata demikian ketika merasmikan Sukan APM Zon Tenggara, di sini hari ini. Turut hadir Pegawai APM Tawau, Kapten (PA) Japli Siping.

Menurutnya, konsep yang diketengahkan oleh APM adalah pemerkasaan komuniti dalam pengurusan bencana tempatan.

“Justeru, saya tidak mahu pegawai dan anggota yang ada di daerah ini ketinggalan dalam proses pemerkasaan APM ini.

“Namun, paling penting anggota APM perlu dekat dengan masyarakat supaya keberadaan mereka selalu menjadi ingatan dalam kalangan penduduk tempatan,” katanya.

Mengulas mengenai sukan ini, Nizam berkata, acara sukan adalah platform terbaik untuk merapatkan silaturrahim sesama anggota APM di daerah dan negeri ini.

Katanya, disamping memberi ruang dan masa untuk berhibur dalam sukan, ia juga adalah aktiviti kecergasan serta kesihatan anggota APM supaya terus melaksanakan tugas dalam keadaan terbaik.

“Saya mahu aktiviti sukan ini dapat diteruskan dan ditambah baik pada masa akan datang kerana ia memberi banyak manfaat kepada setiap anggota.

“Saya harap pasukan zon tenggara yang terdiri daerah Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu menjadi juara dalam sukan APM peringkat negeri,” katanya.

— Hamzah Sanudin