Saya menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam usaha meringankan beban rakyat melalui pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).
Program ini merupakan satu langkah signifikan dalam memastikan kesejahteraan rakyat Sabah terus terpelihara, khususnya golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih serta mereka yang masih tercicir daripada bantuan sebelum ini.
Inisiatif ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap isu peningkatan kos sara hidup. Dengan pemberian bantuan tunai setiap bulan kepada penerima yang layak sehingga Disember 2025, program ini bukan sahaja memberikan kelegaan kewangan tetapi juga mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam membangunkan masyarakat yang lebih inklusif dan sejahtera.
Peruntukan sebanyak RM358.5 juta yang bakal disalurkan bagi manfaat 100,000 penerima membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menangani kemiskinan secara langsung dan menyeluruh.
Perancangan kerajaan negeri untuk memperluaskan pelaksanaan program ini melalui Fasa Kedua yang akan bermula pada Mei 2025 wajar disambut baik. Langkah ini akan membolehkan lebih ramai rakyat yang memerlukan mendapat manfaat, termasuk mereka yang berada dalam senarai eKasih dan yang sebelum ini tidak tersenarai dalam pangkalan data negeri Sabah (PADANS). Usaha ini menunjukkan ketelusan dan komitmen kerajaan dalam memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan yang sewajarnya.
Saya berharap program SYUKUR ini bukan sahaja membantu rakyat yang memerlukan, tetapi juga menjadi bentuk bantuan berterusan yang mampu memberikan impak positif kepada masyarakat Sabah. Usaha ini selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya yang menekankan pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat.
Saya mengajak semua pihak untuk bersama-sama menyokong inisiatif ini demi kebaikan rakyat Sabah. Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri telah membuktikan komitmennya untuk terus bekerja untuk rakyat, dan saya yakin langkah-langkah seperti ini akan terus diperluaskan demi kesejahteraan semua.
YB Datuk Hj Nizam Abu Bakar Titingan
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah/ADUN (N68) Apas
Add Comment