SANDAKAN: Kerajaan digesa tidak memandang ringan isu pemberhentian lebih 5,000 pekerja kontrak PETRONAS, yang kebanyakannya terdiri daripada Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah, berkata kerajaan perlu segera campur tangan mengenai nasib pekerja yang bakal ditamatkan kontrak mereka.
Kataya, perlunya ada satu sesi libat urus bersama PETRONAS dan Kesatuan Sekerja bagi memastikan langkah penstrukturan itu dilaksanakan secara adil dan menyeluruh.
“Ini bukan isu kecil kerana ia membabitkan masa depan ribuan pekerja muda yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi keluarga mereka.
“Selain itu turut menyentuh sensitiviti penduduk Sabah dan Sarawak yang menjadi penyumbang utama hasil minyak dan gas negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Gagasan Rakyat Bahagian Karamunting, di sini, semalam.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut menegaskan, nasib pekerja kontrak terbabit perlu dibela dengan serius kerana mereka bukan sahaja kehilangan mata pencarian, malah turut memberi kesan kepada kesejahteraan ahli keluarga masing-masing.
Katanya, langkah PETRONAS mengurangkan lebih 5,000 pekerja kali ini menimbulkan persoalan, terutama apabila harga minyak global masih stabil sekitar AS$65 setong.
“Saya hairan, pada 2016 ketika harga minyak jatuh ke paras AS$44 setong, PETRONAS hanya mengurangkan sekitar 1,000 pekerja sahaja.
“Jika keuntungan PETRONAS benar-benar merosot, kita perlu teliti semula aspek tadbir urus dan pengurusan syarikat itu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Sabah serta Sarawak supaya memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan pekerja yang terkesan mendapat pembelaan sewajarnya.
–Hamzah Sanudin

























Add Comment