Home » Kerajaan Sabah tidak akan tunduk pada usaha gugat kestabilan: Hajiji
Berita GRS Politik

Kerajaan Sabah tidak akan tunduk pada usaha gugat kestabilan: Hajiji

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan pimpinannya tidak akan tunduk pada sebarang usaha menggugat kestabilan politik negeri susulan video tular mendakwa beberapa Adun terbabit rasuah berkait perlombongan mineral.

Hajiji berkata, isu tersebut sengaja dijadikan propaganda politik pihak tertentu yang berniat mencetuskan kekeliruan dan menggugat kestabilan politik Sabah.

Mengulas isu berkait permohonan lesen melibatkan tanah hampir 1 juta ekar, Hajiji menjelaskan sebahagian besar tanah itu terdiri daripada kawasan perlindungan sepenuhnya, tadahan air dan kawasan pemeliharaan.

Katanya, apabila permohonan kumpulan tertentu tidak berjaya, beberapa klip video disebarkan bertujuan ‘mengancam’ kerajaan negeri.

“Perbuatan mengaitkan rakaman video yang telah disunting dan disebarkan dengan niat jahat, termasuk ancaman berbentuk pemerasan jenayah, adalah tindakan terdesak yang bertujuan mencemar nama baik kerajaan dan menjejaskan kestabilan politik Sabah,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Beliau turut memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa sumber mineral negeri ini kekal terpelihara dan diuruskan dengan teliti.

“Kerajaan negeri bawah pentadbiran saya tidak pernah mengeluarkan lesen melombong kepada mana-mana pihak. Sebarang dakwaan bahawa lesen melombong telah diberikan adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

“Setakat ini, kerajaan hanya mengeluarkan ‘prospecting licence’ yang bertujuan untuk penerokaan dan pengumpulan data geomineral. Proses ini ialah langkah awal yang diperlukan sebelum sebarang permohonan ‘mining lease’ daripada syarikat yang layak dapat dipertimbangkan.”

SPRM kini sedang menyiasat dakwaan rasuah membabitkan lesen projek mineral di Sabah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan yang dikatakan berurusan dengan Adun Sabah.

Dakwaan itu tertumpu pada tindakan kerajaan Sabah yang dikatakan meluluskan lesen bagi syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan itu.

Dalam video-video yang diterbitkan di portal Malaysiakini itu, ahli perniagaan tersebut didengar bercakap mengenai dana yang diberikan kepada pegawai Sabah untuk mendapatkan lesen.

Ahli perniagaan itu dipercayai merakam video secara rahsia menuntut wangnya dipulangkan daripada Adun tertentu selepas kerajaan negeri didakwa menarik balik lesen berkenaan.

— TAMAT