Home » Kerusi tambahan mampu perkasa wakil rakyat luar bandar
Berita GRS Politik

Kerusi tambahan mampu perkasa wakil rakyat luar bandar

Masalah pembangunan tidak sekata di Sabah boleh diatasi jika wakil rakyat lebih fokus kawasan kecil, menurut penganalisis Arvin Tajari.

KOTA KINABALU: Cadangan menambah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Sabah dilihat sebagai langkah rasional yang mampu menangani isu pembangunan tidak seimbang di negeri ini, kata penganalisis politik.

Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arvin Tajari berkata, cadangan meningkatkan kerusi DUN kepada 94 dan kerusi Parlimen kepada 36 wajar dipertimbangkan memandangkan keluasan Sabah yang besar serta populasi lebih tiga juta penduduk, namun masih diwakili jumlah wakil rakyat yang terhad.

Menurutnya, ketidakseimbangan saiz kawasan dan jumlah penduduk antara DUN bandar dan luar bandar menyebabkan jurang pembangunan semakin melebar, selain menjejaskan keupayaan wakil rakyat memberi perkhidmatan yang efektif kepada semua pengundi.

Beliau membangkitkan perbezaan ketara antara DUN kecil seperti Api-Api (4km persegi), Kukusan (8km persegi) dan Tanjung Batu (11km persegi), berbanding kawasan pedalaman yang melebihi 10,000km persegi seperti Kuamut, Nabawan dan Sukau.

“Keadaan ini menyebabkan suara penduduk pedalaman sering terpinggir kerana kemampuan logistik dan pentadbiran wakil rakyat terbatas. Sebagai contoh, DUN Kuamut yang melebihi 10,000km persegi secara realistik boleh dipecahkan kepada tiga kerusi bagi memastikan pembangunan lebih seimbang,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arvin Tajari

Beliau mengulas cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Syed Ahmad Syed Abas, supaya jumlah kerusi DUN dinaikkan daripada 73 kepada 94, manakala kerusi Parlimen Sabah ditambah daripada 25 kepada 36, selaras dengan langkah yang telah diluluskan Sarawak sebelum ini.

Sementara itu, penyelidik Borneo Geo-Politics & Electoral Studies (GeoPES), Syahruddin Awang Ahmad berpendapat, pertambahan kerusi perlu disertai reformasi institusi yang serius agar tidak sekadar menambah jumlah wakil rakyat semata-mata.

Katanya, isu sebenar yang membelenggu Sabah merangkumi kelemahan pelaksanaan dasar, ketirisan pengurusan sumber, kemiskinan tegar serta kegagalan membangunkan infrastruktur asas secara menyeluruh.

Penyelidik Borneo Geo-Politics & Electoral Studies (GeoPES), Syahruddin Awang Ahmad

“Masalah ini perlu diselesaikan supaya pertambahan kerusi benar-benar memberi impak positif kepada rakyat,” katanya yang juga ahli akademik Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau turut menjangka proses persempadanan semula dan penambahan kerusi akan mengubah landskap politik Sabah secara ketara, selain berpotensi memberi kelebihan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), khususnya di kawasan luar bandar yang mungkin dipecahkan kepada lebih banyak kerusi.

“Keadaan ini boleh melemahkan pengaruh parti nasional kerana kawasan lebih kecil lazimnya memperkukuh sentimen regionalisme dan identiti kewilayahan, sekali gus menjadikan persaingan politik lebih kompleks,” katanya.

–TAMAT