Home » Ketua Menteri, TYT sertai Majlis Kesyukuran Awal Muharam 1448H
Berita Gagasan Rakyat Politik

Ketua Menteri, TYT sertai Majlis Kesyukuran Awal Muharam 1448H

UKHUWAH: Tun Musa Haji Aman dan Hajiji bersalaman dengan umat Islam yang hadir pada Majlis Kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H di Masjid Negeri Sabah, sekali gus menyemarakkan semangat ukhuwah dan kebersamaan.

KOTA KINABALU:Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag menghadiri Majlis Kesyukuran Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Doa Awal Tahun Baharu Hijrah 1448H Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Masjid Negeri Sabah, di sini, Selasa.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman bersama Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin bagi bersama-sama umat Islam negeri ini memanjatkan kesyukuran serta memohon keberkatan sempena kedatangan tahun baharu Hijrah.

KESYUKURAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman serta tetamu kenamaan menghadiri Majlis Kesyukuran Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Doa Awal Tahun Baharu Hijrah 1448H Peringkat Negeri Sabah di Masjid Negeri Sabah, pada Selasa.

𝗕𝗮𝗰𝗮𝗮𝗻 𝗗𝗼𝗮, 𝗬𝗮𝘀𝗶𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗧𝗮𝘇𝗸𝗶𝗿𝗮𝗵 𝗞𝗵𝗮𝘀
Program dimulakan dengan bacaan Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah sebelum diteruskan dengan bacaan Doa Awal Tahun 1448 Hijrah, Surah Yasin, tahlil dan doa selamat.

Majlis turut diisi dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran serta tazkirah khas sebagai penghayatan terhadap peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang menjadi simbol perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik, berlandaskan keimanan, perpaduan dan pengukuhan nilai-nilai murni.

𝗣𝗲𝗻𝗴𝗶𝘀𝗶𝗮𝗻 𝗥𝗮𝘀𝗺𝗶 𝗦𝗮𝗺𝗯𝘂𝘁𝗮𝗻 𝗠𝗮𝗮𝗹 𝗛𝗶𝗷𝗿𝗮𝗵 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗦𝗮𝗯𝗮𝗵 𝟭𝟰𝟰𝟴𝗛
Penganjuran majlis berkenaan merupakan antara pengisian rasmi Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M yang bertujuan menyemarakkan syiar Islam, memperkukuh ukhuwah serta menghayati semangat hijrah dalam kehidupan bermasyarakat.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Kadzim M. Yahya; Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; pembantu-pembantu menteri, Ahli Parlimen, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat.

Majlis berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memupuk perpaduan dan mengukuhkan penghayatan nilai-nilai Islam sebagai asas kepada pembentukan masyarakat yang sejahtera, harmoni dan berintegriti.