Home » Lambang kematangan politik PBS, STAR
Politik Sudut Pandangan

Lambang kematangan politik PBS, STAR

PERJUANGAN LOKAL: Hajiji (tengah) bersama Jeffrey (kanan) dan Joachim ketika merasmian konvensyen PBS STAR, Sabtu lepas.

KONVENSYEN Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada Sabtu lepas, menjadi detik bersejarah yang memperkukuh muafakat politik tempatan di Negeri Bawah Bayu.

Dengan barisan kepimpinan yang teguh, bersatu dan berwibawa, ia sekali gus memberi isyarat bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tempat kedua-dua parti ini bernaung, sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) pada bila-bila masa.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor, menyifatkan kerjasama erat antara dua parti tempatan itu sebagai lambang kematangan politik yang meletakkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah mengatasi perbezaan fahaman.

“Konvensyen ini bukan sahaja memperlihatkan semangat penyatuan dalam kalangan parti tempatan yang punya sejarah dan prinsip tersendiri, malah membuktikan bahawa GRS mampu melangkah lebih jauh sebagai gabungan politik yang benar-benar mewakili aspirasi rakyat Sabah,” katanya.

Justeru, beliau optimis Sabah mampu berubah wajah menjadi negeri yang lebih maju, makmur, aman dan sentosa jika GRS terus diberi mandat oleh rakyat dalam PRN17.

Bagi Hajiji, dengan iltizam politik yang kuat, ditambah dengan iklim ekonomi yang semakin baik serta kestabilan politik yang  sama-sama diperjuangkan sejak 2020, Sabah berupaya  melangkah jauh ke hadapan, sebagaimana tertulis dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

PBS dipimpin pemangku presiden Datuk Dr Joachim Gunsalam dan STAR diterajui Datuk Dr Jeffrey Kitingan, merupakan dua daripada lapan komponen dalam GRS.

Kedua-duanya adalah parti berteraskan komuniti Kadazan Dusun dan Murut (KDM) yang berpaksi multi-racial, menguasai sebahagian besar kawasan KDM yang rata-rata di pedalaman dan luar bandar Sabah.

Justeru, penganjuran konvensyen julung kali PBS-STAR 2025 itu mencipta sejarah tersendiri kerana ia bukan sekadar menghimpunkan harapan, tetapi juga menyatukan tekad dan membingkai masa depan dalam sebuah wadah perjuangan besar untuk masa depan rakyat dan negeri.

Ini kerana dalam perhimpunan besar itu terpantul roh pejuang yang tidak pernah padam. Dua obor politik, iaitu PBS dan STAR kini menyala bersama.

Penganalisis politik melihat muafakat kedua-dua parti itu sebagai anjakan besar dalam landskap politik Sabah, selain memancarkan manifestasi kasih terhadap bangsa, tanah air, dan masa depan rakyat serta negeri ini.

Baginya, konvensyen itu mempertemukan hati, menyatukan cita-cita dan menjernihkan semula misi perjuangan asal demi komuniti yang diwakili.

Kedua-dua PBS dan STAR sinonim dengan sosok dua beradik, iaitu Jeffrey dan abangnya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Pairin adalah pengasas PBS pada 1985 dan kini menjadi Penasihat Perdana parti itu, manakala perjuangan politik Jeffrey juga berawal dengan PBS.

Kini nadi kebersamaan kedua-dua PBS dan STAR berdetik sebagai satu semangat dan satu suara, menjadi pohon yang mengakari gabungan besar GRS.

Hakikatnya, konvensyen itu membuktikan bahawa dua parti boleh bersatu atas dasar idealisme, bukan kerana kepentingan politik semata-mata. Menjadi contoh jelas bahawa parti lokal mampu berdiri seiring, bukan saling bersaing.

Ia petunjuk jelas bahawa kesatuan bukan menghapus perbezaan, tetapi menyulamnya menjadi kain perjuangan yang lebih indah dan teguh. Seperti sebuah bahtera di tengah samudera, tiada kapal politik yang mampu sampai ke pelabuhan impian tanpa layar perpaduan.

Syabas PBS dan STAR kerana memilih jalan bersama – bergabung menjadi satu. Inilah makna perjuangan sejati. Kebijaksanaan pemimpin teruji bukan ketika menang, tetapi ketika memilih untuk bersatu demi rakyat.

*Datuk Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.